Pemuda PKR (AMK) menepis tanggapan bahawa kekalahan parti itu dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini merupakan tana "penolakan total" pengundi.
Sebaliknya, kata ketua sayap PKR itu, Kamil Abdul Munim, ia membuka ruang kepada parti terbabit melakukan muhasabah secara jujur dan meningkatkan komitmen menangangi kelemahan dalaman.
Berucap pada pembukaan kongres tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka malam tadi, Kamil mengingatkan AMK bahawa mereka pernah melalui kitaran sama dalam sebelum bangkit memenangi PRU ke-15 pada 2022.
"Kekalahan bukan alasan untuk kita menyerah. Kekalahan adalah pendidikan politik yang paling jujur.
"Kemenangan tanpa muhasabah pula boleh membuat kita angkuh. Tetapi kekalahan yang diterima dengan keberanian boleh menjadikan kita jauh lebih mantap," katanya.
PKR gagal mencatat keputusan yang baik dalam siri PRN yang berlangsung termasuk di Sabah, Johor, dan terkini – Negeri Sembilan.
Di Johor PKR bertanding di 20 kerusi namun hanya satu yang berjaya dimenangi. Malah empat daripadanya mencatat keputusan sangat buruk apabila calonnya hilang wang deposit.
Di Negeri Sembilan pula, PKR hanya mengekalkan dua daripada lima kerusi yang dimenanginya.
Dalam PRN Sabah tahun lalu, PKR hanya memenangi satu daripada 12 kerusi yang ditandinginya.
Hadapi kecurangan terbuka
Menyentuh isu "politik ketakutan" yang didakwa dimainkan pembangkang, Kamil menggesa AMK menawarkan alternatif yang disifatkannya sebagai "politik keyakinan" apabila ia berteraskan ilmu, keadilan dan keupayaan.
Dia berkata dakwaan bangsa Melayu sedang terancam atau kuasa Islam semakin terhakis perlu ditangani menerusi komunikasi yang proaktif mengenai dasar adil dan inklusif serta tadbir urus ekonomi yang stabil bagi memperkukuh masyarakat.
Kamil berkata sentimen sedemikian mengeksploitasi keresahan sebenar yang dirasai masyarakat dan AMK perlu menyedari keadaan itu serta bertindak untuk menanganinya.
"Kerana kalau kita meninggalkan ruang tersebut kosong, orang lain akan mengisinya dengan ketakutan.
"Kalau kita tidak memberikan keyakinan, orang lain akan menjualnya dengan kebimbangan," katanya.
Kamil turut menegaskan Islam tidak memerlukan kebencian terhadap pihak lain sebagai sumber kekuatannya.
Dengan mengambil sejarah Kesultanan Melaka sebagai contoh, dia berkata, sesebuah masyarakat boleh kekal teguh dengan identitinya sendiri tanpa menutup pintu kepada dunia luar.
Kamil turut menyentuh mengenai pergeseran dalaman dalam kerajaan persekutuan dengan menyifatkan sesetengah aktor politik sebagai "talam dua muka".

Menurutnya, keadaan itu merupakan kecurangan politik yang menyebabkan agenda reformasi terbantut serta membuka ruang kepada politik rasuah.
"Keutuhan kerajaan perpaduan hari ini sedang diuji oleh mereka yang bersifat talam dua muka.
"Ada pihak yang berselingkuh tanpa segan silu.
"Ketika pimpinan sedang membina semula keyakinan rakyat terhadap dunia kepada pentadbiran kita, politik curang sebegini yang membantutkan agenda reformasi dan usaha untuk memperkukuhkan kerajaan.
"Sikap kegelojohan pihak tertentu yang meletakkan kepentingan politik mereka mengatasi kepentingan rakyat dan negara tidak wajar dipandang ringan.
"Namun begitu tatkala dada kita dipasak sembilu, dan ditikam dari belakang dan dari hadapan, perdana menteri kita masih berjiwa besar dan terus mengukir senyuman di hadapan rakyat demi menjaga maruah rakyat dan kestabilan negara," katanya.

Walaupun tidak merujuk kepada mana-mana pihak secara jelas, Kamil dipercayai menujukan kenyataan tersebut kepada BN – yang bersama PH dalam kerajaan persekutuan selepas PRU ke-15 – namun kini menjalin persefahaman terbuka dengan PN di peringkat negeri.
Sementara itu, Kamil menyamakan usaha untuk "membersihkan" skandal 1MDB dengan kontroversi terbaru membabitkan Lembaga Tabung Haji.
Dia menggunakan kontroversi Tabung Haji sebagai contoh bagaimana perjuangan berasaskan kaum dan agama boleh digunakan secara hipokrit untuk melindungi amalan rasuah serta salah urus kewangan.
"Apakah wajar sumber dividen yang datang daripada manipulasi perakaunan itu membiayai perjalanan umat Melayu Islam yang menanam impian sekian lama untuk menjadi tetamu Allah?" katanya.





