PAS kini dilihat menguasai PN apabila menduduki pelbagai jawatan utama, termasuk kedudukan ketua pembangkang.
Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sidang media hari ini memberitahu perkara itu selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Cheras pagi tadi.
“Mesyuarat memutuskan jawatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia akan dipegang oleh seorang ahli parlimen dari PAS, namun namanya akan diumumkan sebelum akhir Mac ini,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden Gerakan, Dominic Lau; Presiden Parti Rakyat India Malaysia, P Punithan; dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Sementara itu menjawab soalan media, Ahmad Samsuri berkata, PN akan mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan persetujuan bersama mengenai nama yang akan dilantik ke jawatan itu.
Buat masa ini, kata Ahmad Samsuri, jawatan tersebut masih dipegang bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
Dalam sidang media itu juga Ahmad Samsuri mengumumkan pelantikan Takiyuddin sebagai setiausaha agung baru PN, manakala anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa menjadi ketua penerangan.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pula dilantik menjadi bendahari agung.
Sebelum ini Sanusi merupakan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN. Tempatnya itu digantikan oleh Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin.
Satu lagi perkembangan yang menarik ialah tiada nama Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam barisan kepimpinan utama PN.
Sebelum ini Abdul Hadi menjadi salah seorang Timbalan Pengerusi PN.
Dalam pengumuman dibuat Ahmad Samsuri hari ini, tempat Abdul Hadi digantikan dengan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
[Laporan lanjut menyusul]





