Kerajaan sedang giat menangani "jurang" kawal selia yang diketengahkan menerusi laporan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI menekankan bahawa Malaysia mempunyai rangka kerja perundangan domestik yang komprehensif yang melarang penggunaan buruh paksa, dan undang-undang itu dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa berkaitan dengan tegas.

"Dapatan USTR tidak bermaksud bahawa Malaysia melaksanakan amalan buruh paksa dan tidak mencerminkan keadaan pasaran buruh di Malaysia.
“Laporan USTR mendapati Malaysia belum mempunyai undang-undang larangan import khusus untuk menyaring barangan dan bahan mentah yang memasuki negara ini dari negara ketiga yang mempunyai unsur buruh paksa, dan kerajaan sedang giat berusaha untuk menangani jurang import ini,” menurut MITI dalam kenyataan.
MITI memaklumkan USTR telah memulakan dua siasatan terhadap Malaysia pada 11 dan 12 Mac berkaitan kapasiti berlebihan dan kegagalan menangani import barangan yang mengandungi unsur buruh paksa.
Sebagai maklum balas kepada siasatan itu, Malaysia mengemukakan penjelasan rasminya pada 15 April 2026 dan menghadiri perbincangan dengan USTR pada 12 Mei 2026.
Pada 2 Jun 2026, USTR menerbitkan dapatan itu di bawah siasatan Seksyen 301 mengenai penggunaan buruh paksa melibatkan Malaysia dan mencadangkan tarif 10 peratus ke atas barangan Malaysia selepas tamat tempoh tarif yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 pada 24 Julai 2026.

Menurut MITI, tiada keputusan tarif muktamad yang telah dibuat terhadap Malaysia memandangkan cadangan tarif 10 peratus itu masih tertakluk kepada proses siasatan dan penentuan rasmi oleh USTR.
Permohonan untuk hadir dalam sesi pendengaran, bersama-sama ringkasan keterangan perlu dikemukakan sebelum 22 Jun 2026 manakala ulasan bertulis perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 6 Julai 2026. Sesi pendengaran awam dijadualkan berlangsung pada 7 Julai 2026.
Keputusan muktamad dijangka pada akhir Julai 2026, ketika tempoh berakhirnya tarif sementara Seksyen 122 pada 24 Julai 2026, dengan tarif Seksyen 301 dijangka berkuat kuasa selepas itu.
Malaysia akan terus mengadakan libat urus dengan USTR sepanjang proses itu, termasuk semasa sesi pendengaran bagi mengemukakan pendiriannya dan melindungi kepentingan perdagangan negara.
-Bernama





