Bekas ahli parlimen Bangi, Ong Kian Ming mendakwa wujudnya campur tangan "hulubalang" (warlord) tertentu dalam isu penentuan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai yang hangat diperkatakan baru-baru ini.
Ong mendedahkan, cadangan agar penyandang kerusi berkenaan, Marina Ibrahim berpindah ke kawasan lain yang lebih mencabar bukan didasari oleh niat jahat kepimpinan parti, sebaliknya didorong oleh tekanan dalaman.

Dia bagaimanapun mempertahankan tindakan Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching yang sebelum ini mencadangkan Marina bertanding di DUN Tiram, sebuah kerusi yang dianggap sukar di kawasan parlimen Pasir Gudang.
"Saya tidak rasa Nie Ching mempunyai sebarang niat jahat terhadap Marina apabila mencadangkan beliau berpindah ke kerusi negeri Tiram yang sukar untuk bertanding di sana.
"Saya mengesyaki ada faktor lain yang bermain termasuk 'warlord' tertentu di Skudai atau Iskandar Puteri yang mahukan kerusi Skudai tersebut untuk diri mereka sendiri atau seseorang yang rapat dengan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Marina bukan pilihan pertama
Mengulas lanjut mengenai kronologi pengundian calon di kawasan tersebut, Ong mendedahkan bahawa Marina pada mulanya bukanlah pilihan pertama DAP untuk diletakkan di DUN Skudai.
Rancangan asal kepimpinan DAP adalah untuk menempatkan Syahredzan Johan di kerusi Parlimen Iskandar Puteri bagi menggantikan veteran parti, Lim Kit Siang yang mengambil keputusan bersara daripada arena politik arus perdana.
"Ia pastinya sukar buat parti untuk meletakkan dua calon Melayu (satu parlimen dan satu DUN) di kawasan yang sama.
“Namun, apabila pucuk pimpinan parti mengetahui hasrat saya untuk mengosongkan kerusi Parlimen Bangi (bagi memberi laluan kepada Syahredzan), peluang untuk meletakkan Marina di Skudai muncul," jelasnya.
Pada 31 Mei lalu, Marina membuat kejutan dengan mengumumkan yang dia tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya selepas memenangi kerusi tersebut pada 2022.

Dalam kenyataan dikeluarkan di media sosialnya, anak kelahiran Kluang, Johor itu berkata dia membuat keputusan untuk meninggalkan politik selepas berbincang dengan orang yang dekat dengan dirinya.
“Dengan penuh rendah diri, saya, Marina Ibrahim, telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dan berundur dari arena politik.
“Keputusan ini diambil setelah (mengadakan) perbincangan bersama insan-insan yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang perjalanan ini.
“Kini, saya memilih untuk kembali kepada sesuatu yang amat dekat di hati saya sejak dahulu lagi iaitu berada di lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sebelum saya melangkah ke dunia politik,” katanya.
Marina, 38, merupakan ahli DAP dan dinamakan sebagai calon mewakili PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac 2022. Dia mengalahkan dua calon lain masing-masing mewakili BN dan PN.
Dia mengalahkan pencabar terdekat, Lim Soon Hai (BN) dengan majoriti 13,943 undi.

Sehari selepas pengumuman Marina, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri (DUN).
Katanya pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pengerusi BN Johor itu berkata pembubaran tersebut dibuat selepas mengambil kira keperluan untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Ong turut memuji keputusan berprinsip Marina yang memilih untuk tidak bertanding dan berundur secara terhormat daripada politik garis hadapan, daripada membiarkan kepimpinan tertinggi parti berada dalam kedudukan yang sukar.
Tawaran jawatan lembaga berkanun amalan biasa
Menyentuh mengenai kritikan berhubung tawaran jawatan dalam lembaga berkanun kepada Marina selepas tidak dicalonkan, Ong menegaskan bahawa langkah tersebut dibuat dengan niat yang baik oleh Teo.
Katanya, kaedah itu merupakan amalan biasa parti bagi memastikan bakat kepimpinan seperti Marina dapat terus menabur bakti kepada masyarakat dalam kapasiti yang berbeza.

Dia seterusnya memberikan contoh pelantikan Sheikh Omar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Nanas Malaysia selepas kalah pilihan raya pada 2022, serta Ean Yong Hian Wah sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) selepas berundur daripada bertanding di DUN Seri Kembangan.
Ong turut berkongsi pengalaman peribadinya yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selepas melepaskan kerusi Parlimen Bangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Marina Ibrahim dalam meneruskan khidmat beliau kepada rakyat Johor dalam kapasiti lain pada masa hadapan," katanya lagi.





