Seorang wanita bersama tiga penjaminnya gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan perintah pembayaran semula pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjumlah RM857,000.
Artikel Berkaitan: Zarina Zainuddin Nafi Dakwaan Kilang Pulut Kuning Kotor & Guna Sumbangan MARA RM1 Juta – ‘Saya Rasa Dia Kurang Cerdik’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Mereka Mampu Bermewah & Memperagakan Kehidupan Tapi Mengapa Tak Mahu Lunaskan Hak Orang Lain?’ – Pengerusi MARA
Bayaran MARA RM857,000

Pesuruhjaya Kehakiman Darmafikri Abu Adam mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen selepas mendapati tiada kesilapan dalam penghakiman terdahulu serta tuntutan MARA dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
Dapatan Mahkamah Sesyen adalah munasabah, disokong oleh keterangan, dan tidak menunjukkan sebarang kesilapan yang nyata.
Mahkamah turut mengarahkan kesemua perayu membayar kos sebanyak RM10,000 kepada MARA.
Siti Norbaya Ahmad Nor, 45, menerima tajaan pinjaman MARA pada tahun 2011 untuk mengikuti pengajian sarjana di University of Manchester sebelum memperoleh pinjaman kedua pada 2013 bagi menyambung pengajian PhD di University of Cambridge.
Tiga ahli keluarganya iaitu Siti Zaliha Ahmad Nor, Siti Farhana Ahmad Nor dan Jamilah Long menjadi penjamin kepada kedua-dua pinjaman tersebut. MARA mengambil tindakan undang-undang selepas mendakwa Siti Norbaya gagal melunaskan pinjaman berkenaan.
Mahkamah mendapati perjanjian pinjaman mewajibkan Siti Norbaya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh empat tahun. Walaupun diberikan lanjutan masa sehingga Ogos 2017 selepas memaklumkan tidak dapat menyiapkan pengajian mengikut jadual, Siti Norbaya masih gagal menamatkannya.
Mahkamah mendapati kegagalan beliau untuk menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun tujuh bulan tersebut merupakan satu pelanggaran kontrak.
Oleh itu, plaintif (MARA) berhak menuntut bayaran balik bagi keseluruhan jumlah pinjaman bersandarkan Klause 3.5 dalam perjanjian pinjaman 2013
Hakim turut menegaskan bahawa status pengajian yang diperoleh daripada universiti tidak mengubah tanggungjawab peminjam terhadap syarat yang telah dipersetujui dengan MARA.
Dalam rayuan tersebut, pihak perayu turut berhujah bahawa tuntutan MARA sepatutnya terbatal kerana melebihi tempoh masa yang dibenarkan undang-undang.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan saman yang difailkan MARA pada tahun 2022 masih sah kerana agensi itu mempunyai hak untuk menentukan tarikh bayaran balik perlu dibuat mengikut terma perjanjian.
Sumber: Free Malaysia Today
The post Gagal Tamatkan PhD Di Cambridge, Wanita & 3 Penjamin Diarah Bayar Pinjaman MARA RM857,000 first appeared on OHBULAN!.





