26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 6, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    KATA ADUN | Langkawi lesu banding Bali, Phuket? Menjawab Teresa Kok

    Shopee Sale

    KATA ADUN | Saya merujuk kepada kenyataan YB Teresa Kok yang memandang sinis data rasmi yang saya ketengahkan ketika menyanggah kenyataan beliau sebelum ini, di mana beliau menyifatkan statistik itu sebagai suam-suam kuku.

    Perlu disebut, saya memaparkan data-data itu sebagai jawapan terhadap kenyataan beliau yang menyifatkan Langkawi berkeadaan lesu dan data-data itu secara langsung membuktikan kenyataan itu sangat tidak berasas.


    BACA BERKAITAN:

    KATA MP | Langkawi kalah teruk, PAS Kedah syok sendiri


    Dalam reaksi balasnya beliau mengalih tiang gol dengan membandingkan pula Pulau Langkawi dengan Phuket dan Bali dari segi kemasukan pelancong dan peningkatan jumlah kehadiran.

    Perbandingan itu secara langsung adalah perbahasan yang terlalu simplistik, tidak adil secara struktur, menafikan perbezaan ketara geopolitik, sejarah dan ekonomi serta bersifat ketidakjujuran intelek.

    Perlu dinyatakan sektor pelancongan Phuket mula dibangunkan sejak awal 1970an, manakala Bali pula telah mula menarik kunjungan pelancong asing sejak tahun 1920an. Ketika kedua-dua destinasi itu sedang berkembang, Langkawi masih dalam belenggu 'Sumpah Mahsuri'.

    Adalah penting untuk ditegaskan bahawa apa-apa juga perbandingan yang dibuat haruslah bersifat setara.

    Bali dan Phuket bukan sekadar pulau pelancongan biasa, sebaliknya merupakan hab pelancongan utama yang dibangunkan secara agresif oleh kerajaan pusat masing-masing, dengan kapasiti penerbangan antarabangsa yang jauh lebih besar, jaringan laluan global yang luas, serta dasar kemasukan pelancong yang lebih terbuka.

    Gambar hiasan, Bali.

    Langkawi pula sebaliknya beroperasi dalam ekosistem yang berbeza sama sekali, dengan saiz, kapasiti dan kebergantungan yang lebih tinggi kepada dasar-dasar di peringkat Persekutuan.

    Menuduh Kerajaan Negeri Kedah bersikap lepas tangan dan menyerahkan soal pembangunan Langkawi kepada Lada adalah satu lagi kenyataan yang tidak berasas. Kerajaan negeri telah melakukan segala yang termampu, di bawah bidang kuasanya untuk menggilap, mengangkat dan mempromosi Langkawi.

    Kami tidak ada masalah bekerjasama dengan Lada kerana mereka juga bertungkus lumus melakukan segala yang terbaik di bawah bidang kuasa mereka.

    Tetapi Lada hanya sebuah agensi. Persoalan besarnya adalah di mana pula perananan Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan. Untuk makluman YB Teresa Kok, berikut adalah antara polisi-polisi yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan:

    •⁠ ⁠Kelulusan penerbangan

    •⁠ ⁠Pembesaran lapangan terbang

    •⁠ ⁠Insentif laluan antarabangsa

    MENARIK:  ULASAN | Fenomena Zohran Mamdani dan iktibar buat Malaysia

    •⁠ ⁠Operasi dan tambang feri

    •⁠ ⁠Kastam dan cukai

    •⁠ ⁠Pelancongan kapal pelayaran

    •⁠ ⁠Polisi visa

    •⁠ ⁠Kempen promosi pelancongan peringkat antarabangsa

    Semua itu di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

    Bukanlah rahsia lagi bahawa antara halangan paling besar yang menjejaskan usaha menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi adalah perkhidmatan ferinya. Ini bukan masalah baharu.

    Ia telah berulang kali dibangkitkan termasuk oleh kerajaan-kerajaan negeri yang terdahulu.

    Langkawi cukup sinonim dengan masalah ferinya. Tetapi apakah solusinya?

    Saya sendiri telah beberapa kali meminta supaya Kerajaan Persekutuan melakukan sesuatu supaya masalah perkhidmatan feri di Langkawi dapat diatasi secara tuntas.

    Terakhir, pada persidangan DUN Kedah bulan lepas di mana saya menekankan bahawa perkhidmatan feri di Langkawi seharusnya tidak terlalu berorientasikan komersial kerana ia merupakan keperluan asas penduduk pulau itu.

    Jika YB Teresa Kok ikhlas untuk membantu memajukan Langkawi, tolong bawa perkara ini kepada rakan-rakan YB dalam kerajaan Persekutuan. Ia lebih baik daripada mengarang kisah-kisah keburukan Langkawi semata-mata atas sebab dan dorongan politik.

    Percubaan untuk mengaitkan isu pelancongan melalui serangan peribadi atau persepsi politik ke atas YAB Dato' Seri Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, sebagaimana yang dilakukan oleh YB juga tidak membantu memperkukuh industri ini.

    Pelancongan adalah sektor ekonomi yang kompleks dan memerlukan pendekatan berasaskan data, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, serta strategi jangka panjang yang konsisten.

    Menggunakan contoh acara tertentu sebagai ukuran tunggal kejayaan ekonomi juga merupakan pendekatan yang simplistik dan tidak mencerminkan realiti sebenar pembangunan pelancongan yang mampan.

    Perlu saya tegaskan di sini bahawa dalam usaha memajukan sektor pelancongan di Kedah umumnya dan Langkawi khususnya, Kerajaan Negeri meletakkan tuntutan agama dan resam budaya sebagai keutamaannya.

    Kita menawarkan apa yang kita ada, apa yang diiktiraf oleh khalayak antarabangsa sebagaimana disebut sendiri oleh YB Teresa, tanpa perlu meminjam atau membawa masuk apa yang bertentangan dengan nilai-nilai setempat.

    Tidak kira sebesar gunung mana sekalipun laba yang menanti, kami tidak akan cagarkan nilai-nilai itu.


    MOHD SALLEH SAIDIN Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kerajaan Kedah merangkap Adun Kubang Rotan.

    Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah