Keluarga mendiang Teoh Beng Hock memfailkan tindakan undang-undang baharu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bagi memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap kematiannya, 17 tahun lepas di bawah kesalahan membunuh.
Abang mendiang, Teoh Meng Kee, bersama ibu bapa mereka, Teoh Leong Hwee dan Teng Shuw Hoi, selaku pemohon, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman menerusi Tetuan Lim Wei Jiet pada 17 April lepas.
Mereka menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, PDRM, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.
Permohonan itu ditetapkan untuk pendengaran pada 18 Mei ini.
Dalam permohonan berkenaan, pemohon memohon deklarasi bahawa semua responden mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memulakan siasatan terhadap kematian Beng Hock pada 16 Julai 2009 di bawah kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau menyebabkan kematian tanpa niat di bawah Seksyen 304 kanun sama.
Mereka turut memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden melengkapkan siasatan dalam tempoh 120 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Meng Kee menerusi afidavit sokongannya mendakwa responden gagal memberikan alasan dan penjelasan mengapa tiada siasatan dijalankan di bawah Sesyen 302 dan Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata kes kematian mendiang merupakan isu berlarutan yang melibatkan kepentingan awam, namun sehingga kini tiada mana-mana individu atau pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa berhubung kematian tersebut walaupun terdapat keputusan Mahkamah Rayuan mengenainya.
"Sekiranya permohonan semakan kehakiman ini tidak didengar, ia akan menjejaskan usaha keluarga untuk mendapatkan keadilan berhubung kematian mendiang," katanya dalam afidavit itu.
Pada 21 Nov 2024, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang.
Bagaimanapun, pada 20 Mei 2025, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan menerusi surat kepada bekas peguam cara keluarga mendiang bahawa siasatan dijalankan di bawah kesalahan pengurungan salah mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.
Surat itu turut menyatakan Jabatan Peguam Negara memutuskan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) berhubung kes berkenaan.
Beng Hock, yang ketika itu Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 premis berkenaan.
Pada 5 Jan 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock bukan akibat membunuh diri atau dibunuh, serta mendapati tiada penglibatan pihak ketiga.
Bagaimanapun, pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu memutuskan kematian berkenaan berpunca daripada tindakan membunuh diri.
Pada 5 Sept 2014, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan terbuka sebelum ini dan memutuskan kematian Beng Hock berpunca daripada tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa individu yang tidak dikenali.





