32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    MB: Golongan main emosi kaum bisu ketika ‘pihak luar’ hina institusi diraja

    Shopee Sale

    Menjelang sambutan Aidiladha minggu depan, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengingatkan pihak-pihak tertentu yang didakwanya tidak konsisten dalam isu melibatkan kedaulatan institusi diraja negeri itu.

    Menyusul selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan perutusan hari raya, kenyataan Amirudin itu menegaskan lagi aspek penghayatan perlembagaan dan Rukun Negara sebagai teras perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang bangsa.

    Katanya titah Sultan Sharafuddin itu hadir ketika ada segelintir pihak cenderung untuk mengapi-apikan sentimen perkauman, memperalatkan elemen agama dan mempolitikkan institusi raja.

    “Golongan yang sama turut membisu serta menikus ketika pihak luar menghina dan mencela kewibawaan institusi diraja Selangor,” kataya.

    Bagaimanapun Amirudin tidak menyatakan “pihak luar” yang dirujuknya dalam kenyataan tersebut.

    Politik Selangor akhir-akhir ini diwarnai dengan melibatkan Sultan Selangor, khususnya terkait dengan isu penternakan babi untuk kegunaan penduduk bukan Islam di negeri tersebut.

    Antara lain ia dibangkitkan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki, semasa berbahas di Dewan Undangan Negeri Selangor. Ia mencetuskan kritikan beberapa pihak termasuk pembangkang.

    Pemuda PAS Selangor kemudian menganjurkan demonstrasi Himpunan Daulat Tuanku pada 16 Mei lalu yang menarik penyertaan kira-kira 3,000 orang yang berarak dari Masjid Negeri Selangor ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

    Hormati institusi diraja

    Antara parti politik yang menyertai himpunan berkenaan ialah PAS, Bersatu, Umno, Pejuang dan Putra serta didukuking beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

    Untuk rekod penzahiran rasa tidak berkenan Sultan Selangor kepada ahli politik juga pernah berlaku termasuk melibatkan pemimpin kanan PAS.

    MENARIK:  Buli siber: MCMC terima 27 laporan sehari - Fahmi

    Pada Jun 2022 baginda memanggil Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, terkait isu penyertaan orang Islam dalam perayaan Bon Odori.

    Sebelum itu Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kerajaan PN menasihatkan orang Islam agar tidak terlibat dalam sambutan berkenaan.

    Pandangan Idris bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Sultan Sharafuddin.

    Pertembungan yang lebih menonjol ialah ketika Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, membuat kenyataan yang dianggap menghina Sultan Sharufuddin pada Julai 2023.

    Polis membuka kertas siasatan ke atas Sanusi dan membawa kepada pendakwaan ke atasnya di mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948.

    Sanusi kemudian membuat permohonan ampun kepada Sultan Sharafuddin pada 25 Sept 2024.

    Permohonan maaf itu kemudian diterima baginda sehari kemudian dan menasihatkan ahli politik terbabit agar menjaga tutur kata, tatasusila serta tidak terlalu beremosi menggunakan perkataan yang tidak baik semasa berceramah, khususnya di Selangor.

    Menurut Amirudin, Selangor akan terus berpegang kepada prinsip perpaduan, kedaulatan undang-undang serta menghormati institusi diraja demi memastikan keamanan serta kestabilan negara terpelihara.

    “Semoga Aidiladha tahun ini mengingatkan kita bahawa pengorbanan terbesar dalam sebuah masyarakat majmuk ialah keberanian untuk menolak kebencian dan mempertahankan perpaduan,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah