Bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menyangkal dakwaan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh yang mendakwa mempunyai bukti berasaskan cap masa yang menunjukkan dirinya dan Nik Nazmi Nik Ahmad sudah menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Sabtu lalu, sekali gus melanggar bon pilihan raya 2022 mereka dengan PKR.
Dalam satu kenyataan hari ini, bekas menteri ekonomi itu berkata, bahawa dia baru sahaja mendaftar secara rasmi sebagai ahli biasa parti berkenaan pada hari ini, sekali gus menafikan dakwaan bahawa dia telah menyertai parti itu lebih awal.

"Hari ini, 21 Mei jam 12.56 tengahari, saya baru saya mendaftar menjadi ahli baru Bersama.
“Saya kini menjadi ahli biasa Bersama dan nombor keahlian saya agaknya lebih corot berbanding (mereka) yang lebih awal sertai sejak hari Ahad," katanya.
Penjelasan tersebut sekali gus merobek dakwaan Fuziah sebelum ini yang berkata terdapat bukti cap masa bertarikh 17 Mei (Ahad) di laman web yang menunjukkan Rafizi dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad sudah menganggotai parti baharu itu sebelum melepaskan jawatan parlimen mereka.
Isu ini berakar umbi daripada pertikaian syarat bon pilihan raya PKR 2022 yang mengikat calonnya dengan penalti RM10 juta sekiranya meninggalkan parti sebelum tamat penggal.
Rafizi sebelum ini berkata, urutan pengosongan kerusi parlimen terlebih dahulu sebelum menyertai parti lain secara perundangan membatalkan tuntutan bon tersebut kerana ia hanya terpakai kepada individu yang mengekalkan kerusi parlimen masing-masing

Fuziah sebelum ini dilaporkan berkata bahawa penasihat undang-undang PKR akan meneliti status senarai kepimpinan dalam laman web berkenaan untuk tindakan saman, walaupun dia mengakui penyenaraian tersebut tidak bermaksud permohonan keahlian rasmi telah dihantar.
“Saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk Parti Bersama Malaysia, dalam laman web (parti berkenaan) dengan cap waktu 17 hari bulan.
"Kalau ikut dasar perlembagaan parti, maka mereka telah pun melompat parti pada tarikh itu sebelum mengosongkan kerusi (Parlimen) pada hari ini," kata Fuziah seperti dipetik Bernama.
Susulan pendaftaran rasminya hari ini, Rafizi memaklumkan fokus parti kini adalah untuk menyusun organisasi akar umbi dalam tempoh sebulan menggunakan pendekatan yang berbeza daripada parti-parti politik sedia ada.
“Bersama mesti mengambil pendekatan sang kancil, iaitu mencari kaedah yang paling optimum dan berkesan dalam menyusun organisasi akar umbi supaya kita tangkas, cerdik dan berani.
“Pendekatan yang akan diambil oleh Bersama dalam menyusun organisasi akar umbi tidak sama dengan organisasi parti lain yang ada,” katanya.
Menurut bekas timbalan presiden PKR itu, ramai yang menghantar mesej kepada dirinya menawarkan diri untuk membuka cawangan di daerah atau negeri.

“Nasihat saya ialah untuk mendaftar sebagai ahli di dahulu.
“Proses untuk menyusun organisasi akar umbi itu akan berlaku dalam tempoh sebulan dari sekarang,” katanya sambil menambah panduan seterusnya untuk menyusun organisasi akar umbi akan dibuat dalam tempoh sebulan dari sekarang.





