Nampaknya, isu had umur untuk media sosial semakin serius diperkatakan dan Malaysia antara negara yang paling kuat menyokong langkah ini.
Satu kajian global terbaru mendapati majoriti ibu bapa di Malaysia bersetuju jika penggunaan media sosial dihadkan kepada mereka yang berumur 16 tahun ke atas.
Malaysia antara negara paling tinggi sokong larangan ini
Menurut kajian Family First yang dijalankan oleh Varkey Foundation berpangkalan di United Kingdom, sebanyak 77% ibu bapa di Malaysia menyokong larangan tersebut.
Angka ini meletakkan Malaysia antara negara tertinggi di dunia, bersama India (75%) dan Perancis (74%). Sebaliknya, sokongan paling rendah direkodkan di Jepun (38%), diikuti Nigeria (39%) dan Amerika Syarikat (51%).
Remaja Malaysia sendiri pun ramai setuju
Menariknya, bukan hanya ibu bapa, golongan muda di Malaysia juga menunjukkan sokongan yang tinggi.
Sebanyak 62% remaja berusia 9 hingga 18 tahun di Malaysia menyokong larangan ini, jauh lebih tinggi berbanding purata global iaitu 37%.
Malaysia berkongsi kedudukan tertinggi bersama India (62%), diikuti China (50%).
Manakala negara seperti Jepun (20%), Argentina dan Sweden (kedua-duanya 26%) mencatatkan sokongan paling rendah dalam kalangan remaja.
Dalam kalangan Gen Z pula, Malaysia berada di tangga ketiga tertinggi di dunia dengan 65% menyokong larangan tersebut.
Ini juga melebihi purata global sebanyak 51%, menunjukkan kesedaran terhadap isu ini bukan hanya datang daripada ibu bapa, tetapi juga generasi muda sendiri.
Kajian libatkan lebih 18,000 responden
Kajian ini dijalankan pada Januari hingga Februari 2026 dan melibatkan:
- 6,002 ibu bapa
- 6,011 anak berusia 9 hingga 18 tahun
- 3,000 datuk dan nenek
- 3,000 responden Gen Z
Antara negara yang terlibat termasuk Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, India, Jepun, Kenya, Malaysia, Nigeria, Sweden, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Isu akses atau kesediaan?
Peningkatan sokongan ini menunjukkan perbincangan kini bukan lagi sekadar tentang akses kepada media sosial, tetapi lebih kepada kesediaan remaja untuk menggunakannya dengan selamat.
Dengan angka sokongan yang tinggi dari pelbagai lapisan umur di Malaysia, jelas bahawa isu ini semakin mendapat perhatian dan mungkin akan mempengaruhi dasar pada masa akan datang.
The post Malaysia Antara Tertinggi Sokong Larangan Media Sosial Bawah 16 Tahun, Ini Sebabnya first appeared on OHBULAN!.





