Malaysia sedang meneliti beberapa syarikat pengeluar peluru berpandu sebagai alternatif bagi menggantikan bekalan peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) yang gagal diperoleh selepas kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem persenjataan itu kepada negara ini.
Menurut laporan Berita Harian, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata antara syarikat negara yang sedang diteliti termasuklah Itali, Perancis, Turkiye, Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
Bagaimanapun katanya, Malaysia akan melihat sama ada bekalan berkenaan tersedia terlebih dahulu bagi memastikan tempoh menunggu tidak terlalu lama.
"Peluru berpandu ini perlu ditempah, tetapi masalahnya tempahan baharu mengambil masa empat hingga lima tahun untuk siap. Mungkin AS tengah buat untuk kapal-kapal dia, Itali juga tengah buat, jadi kalau ada saya nak minta dulu.
"Jadi kapal yang kita akan dapat Disember ini akan ada sistem peluru berpandu 'surface to surface'. Peluru yang mampu tembak jarak jauhnya 300 kilometer, itu yang kita nak," katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri satu majlis di Kota Tinggi, Johor.
Kapal Tempur pesisir Kelas Maharaja Lela pada asalnya dijadualkan dilengkapi dengan NSM.

Peluru berpandu yang sama juga menggantikan peluru berpandu Exocet yang digunakan oleh korvet kelas Lekiu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Walaupun maklumat sebenar tentang keupayaan peluru berpandu biasanya dirahsiakan pihak tentera atau kerajaan, syarikat pengeluar NSM iaitu Kongsberg menyatakan peluru berpandu itu mempunyai jarak tembakan melebihi 300 kilometer.
Ini bermaksud peluru berpandu tersebut mempunyai jarak yang cukup untuk menyerang Luconia Shoals — yang dituntut oleh Malaysia tetapi sering dipantau oleh Pengawal Pantai China — dari perairan sekitar pangkalan TLDM di Labuan.
Sebagai perbandingan, peluru berpandu Exocet yang sudah dimiliki Malaysia sekarang mempunyai jarak serangan yang jauh lebih pendek, iaitu sekitar 70 km untuk versi yang dilancarkan dari kapal dan sekitar 50 km untuk versi yang dilancarkan dari kapal selam.
Namun, perjanjian tersebut dibatalkan selepas kerajaan Norway menarik balik lesen untuk Kongsberg mengeksport peluru berpandu tersebut ke Malaysia, dengan alasan perubahan dasar sebagai tindak balas kepada landskap keselamatan global yang semakin berubah.
Malaysia sedang menuntut pampasan lebih RM1 bilion atas pembatalan tersebut dan secara terbuka mengkritik tindakan kerajaan Norway.
Rundingan dengan AS
Di luar Sidang Dialog Shangri-La IISS di Singapura pada hujung minggu lalu, Khaled turut dilaporkan telah berbincang dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth mengenai masalah Malaysia dalam mendapatkan NSM.
"Kita telah meminta pandangan AS bagi membantu mencari penyelesaian kepada isu yang dihadapi, kerana sebagaimana sedia maklum, terdapat sebuah syarikat AS mengeluarkan misil sama seperti Norway.
"Kita telah bertanya sama ada AS bersedia membenarkan penjualan misil itu kepada kita bagi menangani masalah yang dihadapi," katanya kepada Bernama Jumaat lalu, merujuk kepada NSM yang dihasilkan oleh firma pertahanan Amerika Raytheon dengan kerjasama Kongsberg.
Sementara itu, Khaled berkata Malaysia akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Kongsberg walaupun kerajaan Norway telah memohon maaf.
"Tetapi jika Norway betul-betul mahu jaga persahabatan dengan Malaysia, dia boleh bantu dan dahulukan tuntutan wang lebih RM1 bilion.
"Kos peluru berpandu itu lebih RM600 juta, kemudian kos-kos tidak langsung lain seperti latihan, integrasi sistem dan lain-lain, semua itu membabitkan kos jadi siapa yang akan tanggung disebabkan kegagalan mereka," katanya dipetik Berita Harian.





