34.7 C
Kuala Lumpur
Monday, June 1, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Penguatkuasaan pengesahan umur pengguna media sosial bermula hari ini

    Shopee Sale

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran digital lebih selamat untuk kanak-kanak di Malaysia.

    MCMC memaklumkan CPC mewajibkan pemberi perkhidmatan media sosial berlesen untuk melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk (safety by design) serta mempertingkatkan perlindungan yang bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak dalam persekitaran digital negara.

    “Selaras dengan tanggungjawab berkanun di bawah ONSA, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah perlindungan termasuk pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun.

    “Pengesahan umur hendaklah dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia atau rekod setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

    MCMC memaklumkan bermula 1 Jun 2026, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen hendaklah memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun serta mengakses mana-mana ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka.

    Bagi pengguna sedia ada, pengesahan umur akan dilaksanakan secara progresif dalam tempoh sehingga enam bulan oleh pemberi perkhidmatan media sosial yang berkaitan.

    MENARIK:  Wisma Putra: Pelajar M'sia di Bangladesh dipindah ke Suruhanjaya Tinggi

    MCMC memaklumkan dalam tempoh itu, pengguna sedia ada yang dikenal pasti berumur di bawah 16 tahun akan diberikan satu bulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh penyedia perkhidmatan media sosial yang berkaitan.

    Keperluan pengesahan umur ini terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

    “MCMC menggesa semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen mematuhi sepenuhnya obligasi statutori mereka di bawah CPC dan ONSA termasuk melaksanakan langkah pengesahan umur yang berkesan di platform masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.

    “MCMC memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan ini dan akan mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya selaras dengan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

    RMC, menurut MCMC melengkapkan langkah tersebut dengan mewajibkan pemberi perkhidmatan melaksanakan perlindungan secara proaktif termasuk menjalankan penilaian risiko, memperkukuh penyederhanaan kandungan, menyediakan kawalan keselamatan pengguna serta meningkatkan akauntabiliti platform.

    MCMC memaklumkan akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, pemain industri dan masyarakat bagi memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

    Untuk maklumat lanjut mengenai CPC dan RMC, sila rujuk Soalan-soalan Lazim menerusi atau

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah