Dakwaan bahawa Tabung Haji (TH) mengalami kerugian akibat kejatuhan pasaran saham adalah tohmahan semata-mata, kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizah.
Katanya hal itu kerana pasaran saham berada pada tahap kukuh dan mencapai paras tertinggi pada 2018 dengan kejatuhan saham pada tahun itu hanya sekitar enam peratus.
Bagaimanapun, tambah Amir Hamzah, nilai pegangan saham TH pada masa itu menyusut ketara berbanding prestasi pasaran saham.
Dia berkata demikian semasa sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat semalam.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata perubahan dalam pengurusan dan Lembaga Pengarah TH banyak membantu memperketat kawalan serta memperbaiki tadbir urus institusi berkenaan.
Melihat kepada pencapaian TH selepas 2018 apabila institusi itu terpaksa membuat susut nilai sebanyak RM2.6 bilion terhadap pegangan yang masih dimilikinya, Amir Hamzah berkata, agensi itu masih berupaya memberi hibah dengan jumlah yang meningkat pada setiap tahun.
“Ini contoh yang telah dibuat kerana perubahan yang telah diadakan dalam Tabung Haji,” katanya.
Amir Hamzah berkata dia turut mengambil maklum mengenai cadangan RCI supaya pengisytiharan hibah hanya dibuat selepas penyata kewangan diaudit, berbanding sebelum ini yang dibuat secara pro forma.
“Oleh itu, sebarang kebimbangan mengenai isu yang berlaku sebelum ini telah ditangani melalui penambahbaikan yang dilaksanakan sekarang,” katanya.





