29.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 3, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Loke jumpa Guan Eng, pujuk tak tanding jawatan pengerusi – sumber

    Shopee Sale

    Dengan pengundian Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hanya sembilan hari lagi, setiausaha agung parti itu Anthony Loke dikatakan bertemu pengerusi Lim Guan Eng untuk meyakinkannya tidak bertanding semula bagi meredakan ketegangan dalam parti.

    Beberapa sumber yang mengetahui perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa Loke bertemu Lim minggu lepas, cuba memujuknya supaya tidak bertanding jawatan pengerusi parti meski kekal sebagai anggota CEC.

    Bagaimanapun, menurut orang dalam, Lim tegas dengan pendiriannya, dan dia memberitahu Loke bahawa dia akan bertanding walaupun terdapat risiko menghadapi kekalahan.

    “Mereka mengadakan perbincangan yang tenang dan mesra minggu lalu,” kata satu sumber.

    Berita perkembangan ini dikatakan sudah tersebar di dalam parti.

    Walaupun rundingan minggu lalu tidak membuahkan hasil yang diinginkan, difahamkan Loke tidak berputus asa dan akan melakukan usaha terakhir untuk meyakinkan Lim sebelum pengundian pucuk pimpinan pada 16 Mac ini.

    Percubaan Malaysiakini untuk mendapatkan pengesahan daripada Loke dan Lim tidak dijawab.

    CEC DAP mengadakan mesyuarat terakhirnya pada malam Rabu.

    Menurut seorang hadirin, mesyuarat tersebut dijalankan dalam suasana yang mesra.

    Kongres Kebangsaan DAP ke-18 dan pengundian CEC parti itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam pada 16 Mac jam 10 pagi.

    Pemilihan CEC DAP mengikut proses dua peringkat. Perwakilan terlebih dahulu memilih 30 ahli ke dalam CEC, di mana sekurang-kurangnya sembilan daripadanya mestilah wanita, seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan parti.

    MENARIK:  Dasar luar perlu berpegang pada nilai teras tapi anjal - menteri

    Selepas pusingan pertama, 30 ahli CEC yang baru dipilih bersidang dan mengundi sesama mereka untuk melantik pemegang jawatan kepimpinan parti termasuk setiausaha agung—jawatan tertinggi dalam DAP, setanding dengan perananan presiden dalam parti lain.

    Dengan sistem ini, mana-mana pemimpin yang bercita-cita untuk jawatan tertinggi mesti memastikan mereka dan sekutu mereka memperoleh undi yang mencukupi pada pusingan pertama untuk berpeluang dalam pengundian terakhir.

    Menjelang kongres kebangsaan parti itu dan pengundian kepimpinan minggu depan, Kelab Veteran Kebangsaan DAP akan mengadakan Kongres ke-6 dan pengundian kepimpinan pada 9 Mac (Ahad) jam 10 pagi di Pulau Pinang.

    Beberapa pemimpin kanan parti dijangka hadir. Menurut pengumuman pengerusi kelab itu, Lay Hock Peng akhir bulan lalu, Loke akan merasmikan acara itu. Hadirin lain termasuk veteran parti Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Guan Eng, dan Ketua DAP Pulau Pinang Steven Sim.

    Pada 15 Februari, satu insiden berlaku selepas makan malam penghormatan untuk Kit Siang di Pulau Pinang, apabila Tan Khong Chong, sekutu Guan Eng, secara terbuka mencerca Sim dengan kata-kata kesat dalam bahasa Hokkien, menggelarnya sebagai "pengkhianat".

    Tan sejak itu telah meminta maaf, manakala Sim telah menyatakan bahawa dia tidak akan melanjutkan lagi perkara itu.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah