27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Libang Libu tampil kelainan di tengah dominasi filem aksi

    Shopee Sale

    Ketika panggung wayang tempatan kini dipenuhi dengan lambakan filem aksi, pengarah Bobby Husaini tampil dengan karya sulungnya, Libang Libu yang membawa kelainan dan warna baru kepada industri perfileman Malaysia.

    Naskhah terbitan Tangerine Films Sdn Bhd itu diarahkan oleh Bobby Husaini dan menampilkan gabungan pelakon berpengalaman serta nama-nama besar tanah air, menjadikannya antara karya yang dinanti-nantikan tahun ini.

    "Saya rasa keterberadaan filem ini dalam industri perfileman Malaysia sekarang bagi penonton adalah sesuatu yang amat diperlukan.

    “Filem ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi hadir memberi warna kepada industri perfileman tempatan," kata Bobby kepada Malaysiakini semasa tayangan perdana Libang Libu di GSC Midvalley, Kuala Lumpur, semalam.

    Sepanjang tahun ini, antara deretan filem aksi yang ditayangkan termasuk Tarung: Unforgiven, Gayong 2, Malaikat Malam dan Mikael: Pemburu Dua Alam.

    Tidak seperti filem-filem lain di pasaran, Libang Libu menumpukan pada hubungan masyarakat serta nilai kekeluargaan dalam jalan ceritanya.

    Ditanya mengenai pengundian genre komedi-drama, pengarah yang terkenal dengan penghasilan iklan komersial itu menjelaskan bahawa filem tersebut dihasilkan berasaskan minat peribadinya terhadap genre berkenaan.

    "Saya buat filem ini kerana saya suka. Saya pernah diberitahu bahawa jika kita sendiri tidak menyukai sesuatu, bagaimana orang lain nak menyukainya?

    “Jika kita tidak berasa gembira atau tidak menikmati apa yang kita hasilkan, sukar untuk orang lain turut merasai keseronokan itu," katanya.

    Bobby menegaskan bahawa kehadiran lebih 29 pelakon bertaraf “A-list” dalam filem ini dipilih berdasarkan kesesuaian watak dan kepercayaan terhadap kemampuan mereka, bukan sekadar strategi pemasaran.

    Menurutnya, sebahagian besar pelakon yang dipilih pernah bekerjasama dengannya dalam projek iklan komersial sebelum ini, sekali gus memudahkan proses produksi kerana masing-masing sudah memahami gaya kerja antara satu sama lain.

    MENARIK:  Hampir 'terkubur' di DUN Sabah, PKR akur isyarat rakyat

    "Kalau saya pilih pelakon, bukan sebab dia ada jutaan pengikut atau terkenal. Walaupun pengikutnya sedikit, itu bukan ukuran. Yang penting, saya rasa dia boleh bawa watak itu dengan baik," jelasnya.

    Tambahnya, pendekatan itu terbukti berkesan apabila kesemua pelakon memberikan prestasi yang memuaskan sepanjang penggambaran dan meningkatkan mutu hasil akhir filem tersebut.

    Lambor Kanan ke layar perak

    Libang Libu mengisahkan sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung di Lambor Kanan, Perak.

    Menariknya, rumah kampung yang menjadi lokasi penggambaran itu merupakan rumah nenek pengarah sendiri, menjadikan penceritaan lebih dekat dan sarat dengan keaslian emosi.

    Menurut pengarah, pertembungan budaya, agama, fahaman dan cara hidup menjadi tunjang penceritaan, disulami elemen komedi dan drama yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.

    "Kami tidak mahu mengajar secara langsung, tetapi mahu penonton merasai sendiri dinamika hubungan antara watak-watak ini. Dalam gelak tawa itu, ada sindiran halus tentang realiti sosial kita," katanya.

    Dalam masa sama, Bobby mengakui cabaran terbesar sepanjang pembikinan filem itu adalah menyeimbangkan unsur komedi dengan sensitiviti budaya serta agama.

    "Apabila kita bercakap tentang perbezaan budaya dan agama, ia memerlukan penelitian yang sangat teliti. Kami banyak berbincang dengan pasukan dan pelakon supaya setiap adegan kekal autentik, jujur dan tidak menyinggung mana-mana pihak," katanya lagi.

    Libang Libu bakal ditayangkan mulai 23 April ini dan dibintangi ramai pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Ozlynn Wati, Zahiril Adzim, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Sara Ali, Syazwan Zulkifli, Kodi Rasheed, Azhan Rani dan ramai lagi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah