KOMENTAR | Pada 14 Julai 2025 Chelsea dinobatkan sebagai juara kelab dunia dengan menewaskan calon favourite, Paris Saint-Germain (PSG) dengan 3-0.
Cole Palmer menjaringkan dua gol dan satu lagi Joao Pedro.
Chelsea pada masa itu diuruskan oleh Enzo Maresca manakala Guianluigi Donnarumma menjaga gawang PSG.
Penjaga gol Chelsea, Roberto Sanchez, bermain dengan cukup hebat pada masa itu menyelamatkan percubaan-percubaan bahaya daripada bintang-bintang PSG.
Tidak lama kemudian pemilik kelab Chelsea memecat Enzo Maresca dan menggantikannya dengan Liam Rosenior. Chelsea bertemu pula dengan PSG dalam pusingan ke-16 dan The Blues menjadi pasukan belasahan.
Di Stamford Bridge Chelsea dibelasah 0-3 dengan Roberto Sanchez yang kebal pada 14 Julai 2025 seolah-olah menjadi seorang budak kampung yang gagal menangkap ayam untuk dijadikan rendang pada pagi raya.
Bertandang ke tempat lawan di Parc des Princes Paris, Chelsea kelihatan seperti budak-budak penari ballet yang comel yang dibuli semahunya oleh PSG. Chelsea tewas 2-5.
Chelsea balik ke Stamford Bridge dengan aggregate kekalahan 8-2. Dua gol itu adalah hadiah sagu hati supaya tidaklah terlalu malu sebagai juara kelab dunia.
Kerana juara kelab dunia, Chelsea akan memakai lencana khas itu selama empat tahun tetapi ia sudah menjadi bahan ketawa pada kelab-kelab lain.

Bagi peminat Chelsea, menjadi bahan ketawa melihat pasukan yang memakai lencana juara kelab dunia amatlah menyakitkan. Agak pelik bagaimanakah pemilik kelab boleh ambil pengurus tidak berpengalaman seperti Rosenior.
Dia ialah jurulatih muda yang berusia 41 tahun yang dilahirkan di England pada 9 Julai 1984. Semasa menjadi pemain bola sepak dia bermain untuk kelab-kelab seperti Hull City, Ipswich Town dan Brighton & Hove Albion.
Posisinya pula sebagai pemain pertahanan kanan. Rosenior Cuma pernah menyarung jersi England bawah 20 tahun dan 21 tahun.
Pengalaman pengurusan ialah menjadi pengurus sementara Derby County pada 2022 , Hull City (2022-2024), Strasbourg (2024-2026) dan kini Chelsea – entah entah sampai bila.
Yang pasti tempoh itu terasa sangat lama!
Mata jadi juling
Rekod lapan perlawanan Chelsea di bawah kendalian Rosenior ialah seperti berikut:
Kalah kepada PSG 2-5
Kalah kepada Newcastle 0-1
Kalah keoada PSG 0-3
Kalah kepada Everton 0-3
Menang dengan Port Vale 7-0
Kalah kepada Manchester City 0-3
Kalah kepada Manchester United 0-1
Kalah kepada Brighton 0-3
Selepas tewas dengan PSG ramai peminat yang tidak lagi menonton perlawanan kelab itu demi menjaga kesihatan diri. Taktikal Rosenior memang memeningkan kepala.
Kita dapat lihat pertahanan Chelsea akan bermain hantaran sama sendiri di kawasan penalti sendiri, manakala di bahagian tengah pula mereka membuat hantaran ke kiri, ke kanan, ke kiri, ke kanan seperti melihat tarian lagu raya hari raya.
Lebih seronok menonton tarian Aisha Retno dari melihat Chelsea bermain kerana tempoh 90 minit permainan kita disajikan hantaran kiri kanan, kiri kanan hingga mata menjadi juling dan kepala menjadi pening.
Dalam perlawanan dengan Brighton, 55 peratus bola berada dalam kawalan lawan, dengan 15 percubaan dibuat ke arah gol. Tujuh daripadanya tepat, dan tiga membuahkan gol.
Chelsea pula membuat enam percubaan dan tiada percubaan tepat.
Selepas Roman Abramovich menjual Chelsea kepada Clearlake Capital – iaitu sebuah syarikat ekuiti swasta dari Los Angeles – The Blues tidak lagi seperti dahulu. Dasar pembelian pemain juga berubah apabila pihak pengurusan lebih gemar mendapatkan pemain muda dan mengambil pengurus kurang ternama.

Semasa era Abramovich Chelsea memilikki pemain terkenal seperti Peter Cech, Didier Drogba, Frank Lampard, John Terry, Michael Ballack, dan ramai lagi. Pengurus mereka pula tidak kurang hebatnya – Jose Mourinho, Carlo Ancelotti, Thomas Tuchel dan lain-lain.
Abramovich seorang pemilik kelab yang memikirkan keputusan bukan perniagaan semata-mata, manakala tuan baru Chelsea nampaknya lebih berminat kepada perniagaan dan keuntungan.
Kalaulah Rosenoir menguruskan pasukan Chelsea pada zaman Abramovich, sudah tentu dia tidak dapat melihat mentari pagi di Stamford Bridge dengan rekod kekalahan yang berturut-turut.
Cuma dia bernasib baik ketika ini kerana masih diberi peluang. Mungkin kerana dia budak England dan terdapat sedikit titik lunak di mata media massa tempatan.
Kepada peminat Chelsea, bertabahlah. Demi kesihatan, elakkan diri daripada menonton perlawanan Chelsea melainkan pemilik mengubah dasar pengurusan dengan mengambil pengurus dan pemain berpengalaman.
Selagi Chelsea diurus oleh bakat muda pemainnya seperti budak lepasan SPM, bersedia untuk terus menangis di bucu katil setiap kali perlawanan berakhir.
Jika sikap sama berterusan tidak mustahil Chelsea akan mengikut jejak Tottenham Hotspur yang sedang bertarung untuk mengelakkan diri turun ke liga Championship.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah beramal di Brunei selama 24 tahun.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





