Dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 25 April bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di Shah Alam, hari ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009.
Terdahulu kedua-dua individu itu tiba di pekarangan Mahkamah Shah Alam pada 9.07 pagi dengan menaiki van SPRM.
Semalam, SPRM Selangor menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan petang semalam dalam operasi di sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan pada 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.





