Sejumlah 200 juta liter diesel yang dihantar ke Australia bukan milik Malaysia, tegas Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata terdapat laporan daripada sebuah agensi berita Australia yang mendakwa penghantaran 200 juta liter diesel itu melibatkan beberapa negara termasuk Brunei dan Malaysia.
“Semakan bersama Pusat Arahan Komunikasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta beberapa pihak berkaitan mengesahkan bahawa diesel tersebut bukan milik Malaysia.
“Situasi ini sama seperti kes penghantaran diesel ke Filipina sebelum ini,” katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Fahmi, dalam kes berkenaan, pihak Australia mempunyai kontrak perdagangan dengan syarikat British Petroleum (BP) yang memiliki gudang penyimpanan di perairan Malaysia dan kapal yang mengangkut diesel tersebut akan berlepas dari Malaysia.
“Namun, itu (bahan api) bukan diesel Malaysia,” tegas beliau.
Sebelum ini, terdapat dakwaan segelintir pihak menyatakan bahawa kerajaan menjual bekalan minyak kepada Australia ketika dunia sedang berdepan isu ketidaktentuan bekalan tenaga.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sekali lagi menegaskan Malaysia memberi keutamaan kepada keperluan bahan api domestik sebelum membekalkan sebarang lebihan kepada Australia.
Anwar berkata melalui perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese, sebelum ini, kedua-dua negara faham dengan masalah keperluan yang dihadapi masing-masing.





