28.6 C
Kuala Lumpur
Monday, May 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Terkucil’ boleh jadi petanda penyakit serius – pakar

    Shopee Sale

    Ramai menganggap masalah kencing tidak lawas hanya isu kecil atau masalah biasa apabila usia kian lanjut, justeru dibiarkan tanpa pemeriksaan perubatan.

    Ada juga yang keberatan untuk berjumpa doktor disebabkan oleh rasa malu, sekalipun kehidupan sosial mereka terjejas akibat simptom kurang mengawal air kencing yang keluar secara tiba-tiba atau tanpa disedari ketika ketawa, batuk atau bersin.

    Namun, kata pakar, situasi perubatan yang dikenali sebagai inkontinens urin ini mungkin petanda penyakit lain termasuk kanser, penyakit buah pinggang ataupun berkaitan dengan saraf.

    Mengulas lanjut, Pakar Perunding Urologi, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Warren Lo Hwa Loon berkata keadaan kurang kawalan kencing ini bukan satu penyakit, tetapi gejala akibat wujudnya masalah pada fungsi otot, saraf atau struktur saluran kencing.

    “Ada beberapa keadaan yang menyebabkan berlakunya situasi terkencing ini, iaitu inkontinens urin limpahan, inkontinens urin stres, inkontinens desakan dan inkontinens urin campuran.

    “Inkontinens urin limpahan berlaku apabila air kencing keluar menitis secara berterusan kerana pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya semasa membuang air kecil, manakala inkontinens urin stres ialah keadaan apabila air kencing terkeluar secara tidak sengaja akibat tekanan fizikal pada pundi kencing dan abdomen, yang biasanya berlaku ketika seseorang batuk, bersin atau ketawa,’’ katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata inkontinens desakan pula merupakan rasa ingin kencing yang datang secara tiba-tiba sehingga pesakit tidak sempat ke tandas, dan keadaan itu berlaku apabila otot pundi kencing mengecut terlalu awal atau terlalu aktif.

    “Apabila ini terjadi, individu itu akan berasa keperluan mendesak untuk ke tandas dan jika tidak sempat (ke tandas), kebocoran air kencing akan berlaku,

    “Bagi inkontinens urin campuran, keadaan ini berlaku apabila seseorang mengalami gabungan lebih daripada satu jenis lemah kawalan kencing, misalnya inkontinens urin stres dan inkontinens urin desakan, dan berlaku pada individu itu secara serentak,’’ katanya.

    Apa punca masalah kencing?

    Mengulas lanjut, Dr Lo berkata kurang kawalan kencing adalah masalah kesihatan yang boleh berlaku akibat pelbagai faktor, dan puncanya bergantung pada jenis kurang kawalan kencing yang dialami individu tersebut.

    Beliau berkata sebagai contoh, mereka yang mengalami inkontinens urin limpahan mempunyai masalah kesihatan berkaitan sistem saraf (neurologi) dan gangguan otak termasuk spina bifida, kecederaan saraf tunjang, Parkinson, Alzheimer dan tumor otak.

    “Lain-lain punca (inkotinenens urin limpahan) pula adalah disebabkan oleh pembezahan abdomen atau pelvis seperti pembezahan kanser kolon atau ginekologi yang boleh mencederakan saraf pelvis sekali gus menyebabkan pundi kencing menjadi kurang aktif.

    “Selain itu, penyakit sistemik seperti diabetes dilihat antara punca paling lazim mengakibatkan pundi kencing kurang aktif dan tidak berfungsi secara optimum. Pengambilan ubat-ubatan seperti antipsikotik, ubat tidur dan antihistamin juga boleh menyebabkan pengecutan pundi kencing dan menyebabkan individu itu mengalami inkotinens urin limpahan,” katanya.

    Beliau berkata selain itu, individu yang mengalami strok akan berdepan keadaan pundi kencing terlalu aktif dan kurang aktif secara serentak.

    Akibatnya, pesakit mungkin berasa sangat terdesak untuk membuang air kecil, namun pada masa sama tidak mampu mengosongkan pundi kencing sepenuhnya.

    Katanya, individu yang kebiasaannya mengambil minuman berkafein, berkarbonat, minuman sitrus serta alkohol turut dikenal pasti berisiko mengalami pundi kencing terlalu aktif.

    Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata dalam kalangan lelaki, masalah halangan saluran keluar pundi kencing seperti pembesaran prostat atau kehadiran batu pundi kencing juga boleh merangsang dinding pundi kencing secara berterusan, sekali gus mencetuskan gejala pundi kencing menjadi terlalu aktif atau mudah terkencing.

    Menyangkal tanggapan kaum wanita lebih mudah mengalami masalah itu, beliau berkata setiap individu berisiko mengalami masalah tersebut, bergantung pada faktor kesihatan dan gaya hidup masing-masing-masing.

    Dr Lo berkata bagi wanita pula, mereka yang hamil kebiasaannya berdepan masalah kurang kawalan kencing akibat tekanan fizikal daripada rahim yang semakin membesar serta perubahan hormon semasa kehamilan, dan keadaan itu biasanya dikaitkan dengan inkotinens urin stres.

    “Masalah itu juga boleh berlaku apabila seseorang mengangkat barang berat, mengalami kelemahan otot lantai pelvis akibat kehamilan dan proses kelahiran, terutama jika melahirkan anak berkali-kali. Selain itu, proses kelahiran yang menggunakan bantuan seperti forsep atau vakum turut mampu melemahkan otot pelvis dan menyebabkan masalah kurang kawalan kencing.

    MENARIK:  PM: Kroni jahanamkan syarikat, keputusan tak telus pentadbiran dulu

    “Akibat pelbagai faktor dan punca tersebut, masalah inkontinens urin dilaporkan menjejaskan hampir 60 peratus rakyat Malaysia tanpa mengira usia, jantina atau bangsa,’’ katanya.

    Penyakit kronik

    Berkenaan tanda-tanda awal, Dr Lo berkata antara tanda awal masalah kurang kawalan kencing ialah kekerapan membuang air kecil yang meningkat, rasa terdesak untuk ke tandas, kebocoran air kencing ketika melakukan aktiviti harian, jangkitan saluran kencing berulang serta ketidakupayaan untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya.

    Beliau berkata setiap kes kebocoran air kencing mempunyai punca tersendiri dan keadaan itu tidak seharusnya dipandang ringan kerana kegagalan mendapatkan pemeriksaan lanjut boleh melambatkan diagnosis penyakit kronik atau berbahaya di dalam badan.

    Antara penyakit kronik yang kemungkinan berkaitan dengan masalah lemah kawalan kencing itu ialah ketumbuhan atau kanser pundi kencing, penyakit saraf kronik, kanser prostat, kerosakan buah pinggang dan diabetes kronik.

    Sehubungan dengan itu, beliau menasihati individu yang mengalami masalah tersebut agar mendapatkan pemeriksaan awal bagi mengenal pasti punca sebenar selain mengelakkan komplikasi lebih serius.

    “Selain itu, kebocoran air kencing yang berterusan juga boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan saluran kencing berulang, dermatitis kulat, luka tekanan (bedsore), dan dalam kes lebih serius, mengakibatkan urosepsis (berlaku apabila jangkitan saluran kencing yang tidak dirawat merebak masuk ke dalam aliran darah),” katanya.

    “Dalam sesetengah kes, apabila masalah kebocoran kencing berlaku berterusan, individu itu mungkin berdepan dengan kemurungan dan cenderung mengasingkan diri daripada orang ramai kerana tidak yakin dan mungkin malu dengan keadaan mereka…pesakit juga perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli lampin pakai buang bagi menangani masalah tersebut,” tambah beliau.

    Rawat penyakit kencing

    Dr Loh berkata dari segi rawatan pula, kes lemah kawalan kencing tidak boleh menggunakan pendekatan “satu rawatan untuk semua”, kerana kaedah rawatan perlu disesuaikan mengikut jenis masalah dan tahap keterukan yang dialami setiap individu.

    Mengambil contoh individu yang mempunyai masalah inkontinens limpahan, beliau berkata situasi itu dapat dikawal dengan rawatan kateter urin menetap (indwelling urinary catheter) sebagai saluran untuk mengalirkan air kencing secara berterusan dari pundi kencing ke beg penampung luar apabila pesakit tidak dapat membuang air kecil sendiri.

    “Selain itu, teknologi Sacral Neuromodulation (SNM), atau yang dipanggil sebagai ‘bladder pacemaker’ (alat pacu pundi kencing), merupakan antara kaedah rawatan moden yang sangat berkesan untuk membantu memulihkan kawalan kencing sekali gus membolehkan mereka membuang air kecil dengan lebih baik.

    “Bagi inkontinens urin stres pula, keadaan itu boleh dirawat menerusi senaman lantai pelvis (senaman kegel) dan prosedur pembezahan seperti pemasangan sling serta sfinkter urin tiruan (artificial urinary sphincter) bagi menangani kebocoran air kencing ketika batuk, bersin atau melakukan aktiviti fizikal,’’ katanya.

    Beliau berkata bagi individu yang mengalami inkontinens urin desakan pula, keadaan itu boleh dikawal dengan mengurangkan pengambilan minuman berkafein dan berkarbonat, selain penggunaan ubat untuk merehatkan serta mengurangkan pengecutan pundi kencing.

    Tambahnya, suntikan Botulinum toxin (botoks) ke dalam pundi kencing juga antara kaedah rawatan alternatif moden ketika ini yang terbukti berkesan bagi menangani masalah kebocoran air kencing.

    Namun begitu bagi kes yang lebih serius, prosedur pembezahan major dan invasif seperti pembesaran pundi kencing atau lencongan urin (seperti ileal conduit), akan dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir

    “Bagi saya, kesedaran awam mengenai inkontinens urin perlu dipertingkatkan kerana masalah kebocoran air kencing bukan sebahagian daripada proses menua yang boleh dianggap normal. Semua jenis inkontinens urin boleh dirawat dan pesakit tidak seharusnya berdiam diri, sebaliknya perlu mendapatkan bantuan serta rawatan daripada doktor pakar.

    “Amalan gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan juga memainkan perananan penting,” katanya yang menasihati orang ramai agar tidak menahan kencing terlalu lama.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah