Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak injuksi sementara dikemukakan bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim semalam membuktikan pindaan Perlembagaan Bersatu diurus secara tertib, menurut setiausaha agungnya Hamzah Zainudin.
Menurut Hamzah, ia menunjukkan tuduhan ada kesilapan dalam proses serta tatacara pindaan perlembagaan dan pendaftaran keahlian Bersatu tidak tepat sama sekali.
Malah dia berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sendiri menerusi surat bertarikh 19 Jun 2024 mengesahkan proses dan tatacara permohonan pindaan perlembagaan parti itu dilakukan secara teratur.
"Insya-Allah, perkembangan positif ini akan menjadi pemangkin kepada kejayaan Bersatu dan tentunya ia mempunyai hubung kait dengan urusan pentadbiran parti yang dibuat secara teratur serta cermat.
"Justeru, sebagai makluman kepada semua pihak, khususnya ahli parti, adalah sekali lagi ditegaskan bahawa proses serta tatacara pindaan Perlembagaan Bersatu ini dibuat dengan penuh ketelitian mengikut segenap lunas Perlembagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi yang difailkan Azizi untuk menangguhkan pengumuman tarikh PRK bagi DUN Nenggiri.
Permohonan Azizi itu atas alasan bagi menunggu keputusan tuntutan mahkamahnya yang mencabar kesahihan penamatan keahlian partinya, yang menyebabkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Pada 2 April lalu, ROS dilaporkan meluluskan pindaan Perkara 10 perlembagaan Bersatu yang berkaitan peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.
Ia antara lain membatalkan keanggotaan mana-mana ahli yang menyokong pihak yang bertentangan dengan parti.
Pindaan itu susulan tindakan enam ahli parlimennya yang menukar sokongan kepada kerajaan persekutuan.
Selain Azizi yang juga ahli parlimen Gua Musang, enam lagi yang berbuat demikian ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).





