Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan tiada sekatan untuk sebarang perbahasan perwakilan berhubung kedudukan parti itu dalam kerajaan perpaduan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 8 September hingga 12 September ini.
Asyraf berkata kepimpinan parti menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan PAU 2026 untuk menetapkan hala tuju serta penjajaran politik parti menjelang fasa akhir penggal pentadbiran negara.
"Isu kelangsungan kerjasama politik dan gagasan 'Rumah Bangsa' menjadi antara usul paling dominan yang dikemukakan oleh 157 bahagian yang telah menghantar usul setakat ini.
“Platform yang terbaik untuk kita menentukan hala tuju parti sama ada nak meneruskan kerajaan perpaduan itu, dengan siapa untuk kita bekerjasama, itu terserahlah kepada perwakilan.
"Kita tidak akan pernah menyekat pembahas-pembahas negeri-negeri untuk membahaskan apa sahaja kalau melihat daripada sentimen-sentimen di media sosial, memang itu antara topik-topik hangat, tapi saya tidak mahu mendahului Perhimpunan Agung Umno.
"Semua jurucakap yang mewakili perhubungan negeri diberi kebebasan penuh untuk menyuarakan sentimen akar umbi tanpa sebarang tapisan, termasuk dalam perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya pada sidang media khas di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.
PAU 2026 yang dijangka menghimpunkan seramai 6,401 perwakilan rasmi dari seluruh negara yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur merupakan institusi tertinggi dalam parti yang memegang kuasa mutlak mengikut perlembagaan parti.
Sementara itu, Asyraf ketika mengulas mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 berkata bahawa tempoh mandat pentadbiran sedia ada kini sudah memasuki fasa penghujung mengikut kelaziman amalan demokrasi berparlimen di peringkat Persekutuan.
"Kita ingat bahawa dalam sistem demokrasi pilihan raya di Malaysia ini boleh pilihan raya selepas tiga tahun itu dan November ini kita masuk tahun keempat tempoh ini.
"Dan dalam tradisi pilihan raya di peringkat persekutuan tidak pernah kita sampai ke peringkat lima tahun baru terbubar dengan sendiri dan secara purata tiga tahun, lima bulan ke empat tahun itu adalah yang biasa.
"Jadi bukanlah sesuatu yang luar biasa pun kalau dikatakan kita sekarang ini sudah masuk ke fasa-fasa akhir. Tetapi yang paling penting sekali bagi saya ialah perhimpunan agung ini biarlah kita serahkan kepada perwakilan untuk membahaskan secara terbuka," katanya.
Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan komitmen gabungan itu sekiranya PRU16 diadakan lebih awal.
Dia yang juga presiden Umno berkata hal ini bagi membolehkan kerajaan Persekutuan memperoleh mandat baru daripada pengundi.





