Mahkamah Koroner hari ini memutuskan tiada unsur kecuaian atau elemen jenayah dalam kes kematian banduan, K Roopan yang meninggal dunia tiga tahun lalu.
Koroner Rasyitah Ghazali berkata K Roopan meninggal dunia kerana faktor semula jadi iaitu akibat trombosis vena.
Justeru katanya pihak Penjara Kajang dan Hospital Kajang, tidak memikul tanggungjawab terhadap kematian banduan berkenaan.
Roopan meninggal dunia pada 21 Jun 2021 ketika sedang menunggu rayuan selepas disabitkan bersalah dalam kes jenayah.
Empat hari sebelum itu, keluarga banduan berusia 25 tahun itu menerima panggilan bahawa dia dihantar ke Hospital Kajang kerana mengalami sesak nafas.
Pada 19 Jun tahun yang sama, keluarganya dimaklumkan bahawa Roopan mengalami jangkitan jantung dan perlu dimasukkan ke wad selama lima hingga enam hari.
Dua hari kemudian, dia dibenarkan keluar dari hospital.
Selepas keluar dari hospital, Roopan dilaporkan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11.30 pagi ketika berada di bilik pengasingan di Penjara Kajang.
Dia dikejarkan kembali ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 12 tengah hari - kira-kira sejam setengah sebelum keluarganya menghubungi hospital untuk melakukan lawatan.
Keluarganya hanya dimaklumkan mengenai kematian banduan itu sekitar jam 2 petang.
Ketika keluarga melawat rumah mayat, seorang inspektor polis dilaporkan memberitahu mereka bahawa Roopan disahkan positif Covid-19, yang mereka dakwa bercanggah dengan laporan hospital sebelum ini.
Hospital Kajang kemudiannya mengesahkan bahawa Roopan positif Covid-19.





