Selepas penjelasan Tabung Haji (TH) berhubung amalan pembayaran zakat, bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli tampil membangkitkan terdapat beberapa percanggahan ketara antara pendirian pengurusan TH dan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berkata, RCI memberi penekanan mengenai perubahan akad yang tidak dimaklumkan kepada pendeposit, terutamanya untuk mendapat persetujuan pendeposit supaya sebahagian keuntungan pelaburan digunakan untuk subsidi.
Katanya, kesan perubahan akad, dari mudarabah kepada yadi’ah yad dhamanah, telah mengubah hubungan TH dengan pendeposit, dari rakan kongsi menjadi peminjam kepada pendeposit.
"Zakat ke atas pendeposit telah menjadi zakat simpanan sebanyak 2.5 peratus.
"Amaun zakat yang perlu dibayar oleh TH, sekiranya dibayar sebagai zakat simpanan dan bukannya zakat perniagaan seperti amalan TH, adalah lebih besar daripada apa yang dibayar," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tegasnya, tiada sebarang maklum balas dari pengurusan TH mengenai perkara-perkara yang dibangkitkannya dalam penjelasan institusi kewangan Islam itu.
Semalam Malaysiakini melaporkan TH menegaskan amalan pembayaran zakat yang dilaksanakan badan itu telah dibentangkan dan diperakui oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
Jelas TH, kesemua pembayaran zakat yang dibuat oleh TH bagi pihak pendeposit adalah sah dan tidak perlu untuk pendeposit berbuat demikian.

Dalam satu kenyataan, TH memaklumkan Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH dalam mesyuarat pada 2 Sep 2020 berpandangan bahawa status pembayaran zakat bagi pendeposit pada tahun-tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada tahun 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.
"Merujuk kepada syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH supaya perkara berkaitan amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), TH ingin menegaskan bahawa amalan zakat TH telah dibentangkan dan diperakui oleh Jawatankuasa Muzakarah tersebut pada Jun 2024.
"Pandangan Jawatankuasa Muzakarah tersebut seterusnya telah disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-267 pada Okt 2024.
"TH ingin memaklumkan bahawa keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan garis panduan zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh JPS TH," kata kenyataan itu.
Sementara itu Rafizi berkata, apabila kenyataan pengurusan TH menyebut bahawa zakat dibayar bagi pihak pendeposit tanpa menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI dan secara tidak langsung berpendirian isu zakat tidak berbangkit, ia boleh memberi gambaran bahawa pengurusan TH tidak bersetuju dan menolak penemuan-penemuan di dalam laporan itu.
"Saya berharap pihak berwajib terus memberi penjelasan yang boleh menjernihkan perkara-perkara yang ditimbulkan, terutamanya mengenai status bayaran zakat yang ditimbulkan.
"Jangan kita ulangi episod 10 tahun lepas yang menolak mentah-mentah apabila rakyat biasa seperti saya mengutarakan soalan-soalan seperti yang saya tanya sekarang," katanya yang juga bekas ahli parlimen Pandan.
Rafizi turut memetik laporan penemuan RCI seperti berikut:
“Suruhanjaya mendapati, dalam tahun 2016, akad deposit (kontrak) ini telah ditukar kepada wadi ’ah yad dhamanah yang mana deposit dikira sebagai simpanan, dan TH akan membayar keuntungan (hibah) kepada pendeposit untuk mengelakkan pembayaran riba.
"Namun, Suruhanjaya mendapati tiada penjelasan mengapa perubahan akad ini dilakukan.”
“Walaupun begitu, Suruhanjaya mendapati antara faktor perubahan tersebut adalah kerana TH telah mula menggunakan sebahagian keuntungan pelaburan untuk membiayai subsidi di bawah akad Mudarabah. Tetapi tiada dokumen menunjukkan pendeposit (rabbul mal) bersetuju sebahagian keuntungan pelaburan digunakan untuk subsidi.”
Menurut laporan itu kesan daripada pertukaran kepada akad wadi’ah yad dhamanah telah mengubah hubungan yang boleh menyebabkan pendeposit terdedah kepada tanggungan zakat ke atas deposit yang diserahkan kepada TH.

“Perkara ini telah dibangkitkan oleh Bank Negara dalam suratnya kepada perdana menteri bertarikh 26 Jun 2019.
"Menurut Bank Negara, penzahiran berkenaan zakat kepada pendeposit mungkin tidak sama dengan kontrak di bawah Wadi’ah Yad Dhamanah.
“Di bawah akad wadi’ah yad dhamanah, kedudukan TH telah menjadi peminjam kepada deposit yang disimpan di TH. Justeru, bayaran zakat oleh TH pada masa itu hanya mewakili perniagaan TH sebagai sebuah institusi, manakala pendeposit sepatutnya perlu membayar zakat simpanan.
Laporan itu juga menjelaskan kadar zakat simpanan adalah sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah simpanan. Ini akan menyebabkan amaun zakat yang perlu dibayar oleh TH menjadi lebih besar berbanding sekiranya dibayar dalam bentuk zakat perniagaan.
"Formula zakat perniagaan menjadikan nilai zakat lebih rendah daripada zakat simpanan.
“Suruhanjaya mendapati pertukaran akad mudharabah kepada akad wadi’ah yad dhamanah pada tahun 2016 menyebabkan berlaku ketidakharmonian antara Akta 535 dengan pelaksanaan akad tersebut. Ini terjadi kerana di bawah akad Wadi’ah Yad Dhamanah, TH berperananan sebagai peminjam wang daripada pendeposit untuk dilaburkan.
"TH bebas menggunakan keuntungan dana tersebut untuk pembayaran keuntungan (hibah), subsidi dan sebagainya tanpa kebenaran pendeposit. Di atas akad tersebut juga pembayaran zakat oleh TH sebenarnya zakat yang kena dibayar oleh TH, dan bukan zakat yang perlu dibayar oleh pendeposit.
“Sedangkan, menurut Akta 535, LTH sememangnya tidak dibenarkan meminjam dan tidak tertakluk kepada pembayaran zakat. Walaupun begitu, bagi pihak pendeposit, mereka menganggap pembayaran zakat oleh TH adalah mewakili zakat mereka,” jelas laporan itu.





