Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana daripada 5,000 pelarian Myanmar sekiranya mereka berdepan penganiayaan atau ancaman terhadap nyawa, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil hari ini.
Bercakap pada sidang media mingguan selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya, Fahmi berkata Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri masih meneliti cadangan penghantaran pulang itu, termasuk mengenal pasti individu yang boleh dihantar.
“Tapi semestinya Malaysia sebagai sebuah negara yang juga bertanggung jawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan dizalimi ataupun nyawa mereka akan terancam,” kata menteri komunikasi itu.
Fahmi berkata beberapa perkara perlu diteliti terlebih dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan junta Myanmar sebelum penghantaran pulang dilaksanakan.

“Jadi ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan Kerajaan Junta di Myanmar sebelum kita laksanakan.
“Apa yang telah dimaklumkan oleh YAB PM, 5,000 orang pelarian Myanmar ini yang pihak Kerajaan Junta di Myanmar sedia untuk menerima, tapi kita akan teliti apakah kriteria. Dan sekiranya sesuai, kita akan laksanakan,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil maklum pelarian tidak boleh dihantar pulang sekiranya tindakan itu mengancam nyawa mereka.
Fahmi berkata butiran cadangan berkenaan, termasuk kriteria pengundian 5,000 pelarian itu masih diteliti, khususnya oleh Kementerian Luar.

Anwar mengumumkan pada 29 Julai lalu bahawa Myanmar bersetuju menerima 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia, manakala Kementerian Dalam Negeri ditugaskan mengenal pasti individu yang terlibat.
Bagaimanapun, status cadangan penghantaran pulang itu kemudian menjadi tidak jelas.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pada 30 Julai bahawa Malaysia mula mendokumentasikan dan menyaring warga Myanmar yang ditahan di depot tahanan imigresen sebagai sebahagian daripada proses tersebut.
Namun, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asean Myanmar, Han Win Aung, pada 31 Julai berkata aturan itu tidak membabitkan Rohingya. Menurut laporan Associated Press, ia sebaliknya melibatkan warga Myanmar yang ditahan di Malaysia dan kewarganegaraan mereka dapat disahkan.

Cadangan penghantaran pulang itu turut menimbulkan kebimbangan berhubung prinsip non-refoulement yang melarang seseorang dihantar pulang ke negara tempat mereka berisiko menghadapi penganiayaan atau ancaman serius lain.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata keadaan di Myanmar masih tidak selamat untuk kepulangan pelarian ketika konflik terus berlaku. Kepulangan pelarian hanya boleh dibuat secara sukarela serta dalam keadaan selamat dan bermaruah.
Amnesty International Malaysia turut menggesa penghantaran pulang secara paksa terhadap Rohingya dan warga Myanmar lain dihentikan dengan mengambil kira konflik serta krisis hak asasi manusia yang masih berterusan di negara itu.
Isu tersebut timbul ketika Malaysia melaksanakan perubahan lebih luas dalam pengurusan pelarian.

Bulan lalu, kerajaan meminta UNHCR menghentikan sementara pendaftaran pelarian baharu ketika negara beralih kepada sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) kendalian kerajaan.
Fasa pertama program DPP memberi tumpuan kepada individu yang ditahan di pusat tahanan imigresen.
Malaysia menempatkan lebih 215,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR, termasuk kira-kira 126,000 pelarian Rohingya.
Pada Januari 2020, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Myanmar mengambil langkah sementara bagi melindungi Rohingya daripada tindakan genosid, memelihara bukti dan melaporkan pematuhannya secara berkala.

Pada Januari tahun ini, ICJ memulakan perbicaraan merit bagi menentukan sama ada Myanmar melanggar Konvensyen Genosid menerusi tindakan tenteranya terhadap Rohingya, selepas Gambia membawa kes itu ke mahkamah pada 2019.
ICJ dijangka memberi keputusannya pada tahun depan.
Junta tentera Myanmar melancarkan serangan ke Rakhine pada 2017 yang memaksa sekurang-kurangnya 730,000 Rohingya meninggalkan kediaman mereka dan melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.
Misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merumuskan serangan tentera pada 2017 itu merangkumi “tindakan genosid” dengan dakwaan kejadian pembunuhan, rogol beramai-ramai dan pembakaran.

Myanmar menafikan berlakunya genosid, menjelaskan serangan itu merupakan kempen memerangi keganasan yang sah sebagai tindak balas terhadap serangan militan Islam.
Junta tentera Myanmar juga mendakwa misi pencarian fakta PBB tidak objektif dan tidak boleh dipercayai.





