Hari ini, ramai melihat Dazrin Kamarudin sebagai pelakon, usahawan dan individu yang sentiasa tersenyum setiap kali muncul di khalayak ramai.
Namun, di sebalik kehidupan yang kelihatan tenang itu, ada satu tempoh dalam hidupnya yang pernah membuatkan dirinya hilang arah, hilang keyakinan dan hampir berputus asa.
ARTIKEL BERKAITAN: Dazrin Kamarudin: ‘Jangan Ingat Kita Selebriti, Semua Benda Boleh Dilanggar’
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sekarang Bila Ada Bisnes & Digelar Saudagar Karpet, Ramai Datang Menempel’ – Dazrin Kamarudin Imbas Fasa Kejatuhan
Tahun 2013 – 2015 fasa kegelapan Dazrin
Sekitar tahun 2013 hingga 2015, Dazrin mengakui dirinya melalui fasa paling getir apabila pelbagai masalah datang serentak.
Hubungan peribadi yang bergolak, tekanan emosi dan kerjaya yang semakin perlahan membuatkan dia berdepan kemurungan sehingga memilih untuk menjauhkan diri daripada dunia lakonan.
“Semua benda berlaku serentak. Bila hati tak tenang, disiplin pun hilang. Saya rasa kalau saya teruskan berlakon masa itu, saya cuma akan menyusahkan orang lain sebab saya sendiri sedang bertarung dengan diri sendiri.”
Keadaan menjadi lebih sukar apabila komitmen kewangan tetap berjalan seperti biasa walaupun kehidupannya ketika itu sedang runtuh sedikit demi sedikit.

“Bank tak tahu kita tengah susah atau tengah kemurungan. Mereka cuma tahu kita kena bayar.”
Lebih menyentuh hati, Dazrin turut berkongsi bagaimana dia pernah mengorek tabung berisi syiling semata-mata untuk mengisi minyak kereta untuk pulang ke kampung halaman di Melaka.
“Saya korek tabung sampai cukup RM50 untuk isi minyak. Orang ingat hidup saya senang, tetapi hakikatnya saya memang betul-betul jatuh ketika itu. Saya ada keluarga, tetapi saya tak mahu susahkan mereka.”
Pengalaman itulah yang akhirnya mengubah cara Dazrin yang kini sukses mengusahakan bisnes Al Aqsa Carperts melihat kehidupan. Jika dahulu dia melihat kejayaan daripada sudut populariti dan pencapaian peribadi, hari ini dia lebih menghargai nilai sebuah komuniti dan sokongan orang sekeliling.
Mahu membina komuniti menerusi Weekend Fête
Sebab itu, apabila terlibat menganjurkan acara seperti Weekend Fête Al Aqsa Carpets yang menghimpunkan ramai vendor, perkara yang bermain di fikirannya bukanlah soal kemeriahan semata-mata, tetapi nasib para peniaga yang meletakkan harapan untuk mencari rezeki.
“Kalau tak ada orang datang beli dekat booth mereka, saya rasa bersalah. Saya tak boleh janjikan jualan berjuta-juta, tetapi saya boleh sediakan satu platform untuk kita sama-sama membina komuniti.”
Menurut Dazrin, pengalaman jatuh bangun yang pernah dilalui membuatkan dia semakin sedar bahawa kejayaan tidak pernah dibina seorang diri. Selain rakan kongsi perniagaannya, pelakon itu turut mengakui isterinya, Nur Fazulin Razali, banyak membentuk dirinya menjadi individu yang lebih berdisiplin dan teratur.

“Orang-orang di sekeliling inilah yang menjadikan saya seperti hari ini. Untuk jadi lebih baik, kita kena berani mengaku kelemahan diri sendiri. Kalau kita tak sedar kesilapan kita, kita tak akan berubah.”
Mungkin sebab itulah, bagi Dazrin, fasa gelap yang pernah dilalui bukan lagi sesuatu yang mahu dilupakan. Sebaliknya, tempoh itu menjadi peringatan bahawa dalam hidup, jatuh bukanlah pengakhiran. Kadang-kadang, daripada titik paling rendah itulah seseorang belajar menghargai rezeki, masa dan orang-orang yang sentiasa berada di sisinya.
The post “Saya Pernah Korek Tabung Isi Minyak” – Fasa Gelap Ubah Cara Dazrin Kamarudin Lihat Kehidupan, Bersyukur Makin Murah Rezeki first appeared on OHBULAN!.





