Penyelesaian isu melibatkan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di Kuala Lumpur membuktikan bahawa hak rakyat, termasuk golongan miskin bandar, boleh dipertahan melalui proses dan saluran undang-undang yang sah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kejayaan penduduk memperoleh pembelaan selepas menunggu selama puluhan tahun disifatkan sebagai peristiwa bersejarah yang menunjukkan kedaulatan undang-undang perlu sentiasa dihormati dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu pertikaian.

Anwar berkata pengalaman penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara wajar dijadikan pengajaran oleh semua pihak bahawa tuntutan hak perlu dilakukan mengikut saluran yang sah dan bukan melalui tindakan melanggar undang-undang.
“Projek ini mungkin tidak besar dari segi fizikalnya tetapi kesannya dari sudut sejarah amat besar... bukan sahaja di Malaysia malah jika dilihat di mana-mana negara, kelompok miskin bandar yang tinggal di rumah panjang seperti ini lazimnya berdepan tekanan dan kesukaran apabila berhadapan dengan pemilik tanah atau pemaju.
“Dalam sejarah dunia, mereka jarang sekali menang... Alhamdulillah, di Kuala Lumpur mereka akhirnya berjaya mempertahankan hak mereka melalui proses undang-undang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Kekal bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri turut menyifatkan penyelesaian yang dicapai sebagai contoh bagaimana negara sepatutnya ditadbir, iaitu dengan mengutamakan kepentingan rakyat, menghormati undang-undang dan menggunakan kuasa secara bertanggungjawab.
“Ini bukan bermaksud sesiapa boleh sewenang-wenangnya menceroboh tanah atau membina penempatan tanpa mengikut proses yang sah... hakikatnya, kes ini telah melalui proses undang-undang yang panjang, diteliti oleh hakim yang bijaksana dan mengambil kira semua aspek serta pandangan yang dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip menghormati proses perundangan dan tidak boleh mencampuri urusan yang masih berada dalam pertimbangan mahkamah.
Anwar juga berkata segala isu melibatkan penduduk termasuk janji-janji lama dan perjanjian terdahulu diteliti satu persatu sehingga penyelesaian dapat dicapai menerusi kerjasama pelbagai pihak.
“Saya sentiasa menegaskan bahawa kita mesti menghormati proses undang-undang... sebelum keputusan mahkamah dibuat, saya tidak berani mencampuri kerana kita perlu menunggu proses tersebut berjalan.
“Namun setelah keputusan dicapai, saya berkata kita perlu mencari jalan penyelesaian yang adil dan tidak boleh lagi mengabaikan keputusan yang telah dibuat,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI akan terus berpegang kepada prinsip keadilan untuk semua tanpa mengira latar belakang kaum atau status sosial.
“Sama ada Melayu, Cina, India atau mana-mana kaum sekali pun, hak rakyat mesti dipelihara... kita tidak boleh memilih bulu apabila bercakap tentang keadilan... keadilan bukan milik satu kelompok tetapi milik semua yang berhak menerimanya,” kata beliau.
Pada majlis itu, Anwar turut bersetuju meluluskan peruntukan RM1 juta bagi membantu menampung kos penyelenggaraan perumahan kekal untuk penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara yang bakal berpindah ke kediaman baharu selepas menunggu selama 44 tahun.
Beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menguruskan kos penyelenggaraan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun supaya tidak membebankan penduduk.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Isu penempatan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara berlarutan selama lebih empat dekad sebelum usaha perundangan yang digerakkan wakil penduduk sejak 2018 akhirnya membawa kepada penyelesaian yang disifatkan lebih bermaruah tanpa menjejaskan pemeliharaan Taman Rimba Kiara susulan cadangan pembangunan di kawasan itu.





