29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 15, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ketua J-Kom: ‘Cina sesat’ tak rasis, dituju pada Albert Tei, See-To

    Shopee Sale

    Ketua Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohd Hisyamuddin Ghazali menafikan dakwaan dia membuat kenyataan rasis terhadap masyarakat Cina, sebaliknya berkata komen “Cina sesat” itu hanya ditujukan kepada dua individu dan sengaja disalah tafsir.

    Pada rakaman video malam tadi, Hisyamuddin yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz berkata hantaran Facebooknya pada Sabtu lalu hanya bertujuan menjawab kenyataan bekas pengarah komunikasi strategik BN Eric See-To dan pendedah maklumat rasuah Albert Tei.

    “Saya menegaskan bahawa hantaran asal di laman Facebook saya hanya sebagai respon balas kepada Eric See-To dan Albert Tei semata-mata.

    "Perkara ini terbukti jelas dalam hantaran tersebut yang secara terang-terangan menyebut nama Lim Sian See dan Albert Tei, tanpa melibatkan mana-mana pihak lain,” katanya.

    Eric See-To.

    Terdahulu, hantaran Hisyamuddin yang disunting dua kali bagi membuang perkataan “Cina” dan “balaci”, mengundang kecaman pelbagai pihak, termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang.

    Walaupun istilah itu telah dibuang, perubahan berkenaan masih dapat dilihat dalam sejarah suntingan hantaran itu.

    Mengulas lanjut, Hisyamuddin berkata dia kesal dengan usaha pihak tertentu menggambarkan hantaran itu sebagai serangan terhadap keseluruhan masyarakat Cina.

    “Saya amat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang sengaja memutar belit hantaran tersebut bagi memberi gambaran salah kononnya saya menyerang seluruh kaum Cina,” katanya.

    Hisyamuddin menegaskan dia tidak berniat menyinggung mana-mana kaum dan berkata usaha memelihara keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia kekal menjadi keutamaan.

    “Saya menegaskan bahawa tiada sebarang niat di pihak saya untuk mengguris hati atau menyinggung perasaan mana-mana kaum di Malaysia. Keharmonian masyarakat majmuk sentiasa menjadi keutamaan saya,” tambahnya.

    Pada masa sama, dia memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul daripada perkara itu.

    “Bagaimanapun, segala kekhilafan dan salah faham yang tercetus sehingga menyinggung perasaan pihak yang tidak terlibat adalah amat saya kesali.

    "Saya mengambil tanggungjawab penuh dan akan lebih berhati-hati dalam setiap pengurusan hantaran media sosial pada masa hadapan,” katanya.

    Hisyamuddin turut memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didakwanya memfitnah atau memutarbelitkan kenyataannya.

    Dia berkata pasukan peguamnya telah meneliti kenyataan dan hantaran media sosial berkaitan, manakala laporan polis juga telah dibuat.

    Menurutnya, surat tuntutan akan dikeluarkan tidak lama lagi kepada See-To dan beberapa pihak lain yang didakwa terbabit menyebarkan dakwaan berkenaan.

    MENARIK:  BNM kekalkan OPR pada 3 peratus untuk kali ke-10 berturut-turut

    See-To saman PM, KSN, menteri dan bos Jkom

    “Saya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk tuduhan melulu, fitnah, mahupun pemutaran belit kenyataan yang menjejaskan reputasi saya.

    "Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil serta-merta,” tegasnya.

    Menjawab hantaran berkaitan oleh Hisyamuddin, See-To mencabar Hisyamuddin supaya terus mengambil tindakan undang-undang, bukan sekadar mengeluarkan surat tuntutan.

    See-To melalui hantaran di Facebook berkata Hisyamuddin wajar memfailkan saman dalam tempoh 14 hari, jika gagal, dia akan memulakan prosiding undang-undang terhadap bekas pegawai khas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution itu.

    “Asas tindakan undang-undang yang saya akan fail ialah saman sivil atas tort misfeasance in public office, iaitu salah guna kuasa dalam jawatan awam.

    "Dana awam yang diperuntukkan untuk komunikasi kerajaan yang neutral, profesional dan bermanfaat kepada rakyat telah dipercayai disalahguna, dialih tujuan, atau digunakan untuk kepentingan politik partisan dan peribadi.

    "Ini termasuk tindakan menyasarkan pengkritik kerajaan, mengugut tindakan undang-undang, membuat laporan polis, mempertahankan kenyataan rasis, serta menghasilkan propaganda yang tidak berkaitan dengan mandat sah komunikasi kerajaan,” katanya.

    See-To berkata samannya terhadap Hisyamuddin juga akan menamakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai defendan bersama.

    “Defendan-defendan ini sama ada mengetahui, sepatutnya mengetahui, atau cuai secara melulu terhadap tujuan tidak wajar dan kemungkinan ketidaksahan penggunaan jawatan awam, kuasa awam dan dana awam tersebut.

    "Lebih serius, mereka juga dilihat membenarkan seorang pegawai kanan kerajaan terus memegang jawatan awam walaupun dikaitkan dengan kenyataan rasis semasa berada dalam pejabat awam,” dakwanya.

    Akibatnya, dia mendakwa mengalami kecederaan peribadi, termasuk gangguan bersasar, kerosakan reputasi, kos guaman, tekanan akibat ancaman undang-undang serta kesan membungkam terhadap kebebasan bersuara dan hak perlembagaannya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah