Sebanyak 98 keluarga di Rumah Panjang Bukit Kiara di Kuala Lumpur akan menerima dua unit rumah secara percuma menerusi penyelesaian pembangunan semula kawasan itu yang turut mengekalkan Taman Rimba Kiara sebagai kawasan hijau awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata perjanjian asal hanya memperuntukkan sebuah rumah percuma bagi setiap keluarga, manakala unit kedua perlu dibeli pada harga RM175,000.
“(Namun), memandangkan mereka juga merupakan golongan B40 di Kuala Lumpur, kita telah memanggil semua pihak dan berunding. Unit kedua ini juga akan diberikan kepada mereka secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal bagi penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, di Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hannah berkata pembangunan yang dihadkan kepada kawasan seluas 5.76 ekar (2.33 hektar) itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, dengan rumah baharu akan dibina terlebih dahulu sebelum penduduk berpindah dan rumah panjang sedia ada dirobohkan.
“Kita ambil pendekatan ini kerana kita tak nak kalau rumah mereka dirobohkan dulu, mereka kena berpindah keluar pergi cari rumah untuk disewa. Saya tak nak komuniti ini hilang tempat berteduh sebelum rumah baharu siap,” katanya.
Beliau berkata baki tanah pembangunan akan diserahkan semula kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai kawasan lapang awam.
Katanya, penyelesaian itu merupakan model menang-menang yang memastikan Taman Rimba Kiara terus dipelihara, di samping menjamin hak penduduk untuk mendapat kediaman yang lebih sempurna.
Pada masa sama, Hannah berkata satu audit bersama melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Friends of Bukit Kiara dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan dilaksanakan bagi memastikan pengurusan, pemeliharaan dan perlindungan pokok di kawasan pembangunan.
“Ada pokok yang perlu dipindah. Jadi yang ini kita akan minta FRIM masuk bersama untuk tengok mana yang sesuai kita akan pindahkan masuk ke dalam Taman Rimba Kiara supaya kita tak perlu hapuskan pokok semua,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Hannah berkata pembangunan kawasan berkenaan membuktikan perumahan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar boleh dilaksanakan secara seiring melalui pendekatan yang mengutamakan kepentingan awam dan kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata penyelesaian itu dicapai selepas pelbagai rundingan dan perbincangan yang melibatkan pelbagai pihak bagi memastikan hak penduduk serta pemeliharaan Taman Rimba Kiara dapat dilaksanakan secara seimbang.
“Hari ini bukan sekadar majlis pecah tanah. Hari ini adalah penyelesaian kepada isu yang telah berlarutan selama 44 tahun. Pada 1982, penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara dipindahkan dengan harapan bahawa penempatan ini hanyalah sementara. Namun, penantian ini berlanjutan selama beberapa dekad,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan geran khas RM100,000 kepada Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Bukit Kiara bagi tapak kuil yang akan diperoleh selepas mendapat kelulusan pembangunan.
Beliau berkata tapak kuil sedia ada akan dikekalkan dan dizonkan secara rasmi sebagai Tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), manakala jumlah lot tempat letak kereta untuk Taman Rimba Kiara akan ditambah daripada 80 kepada 150 lot.
Turut hadir pada majlis itu, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.





