Naib Presiden PAS, Idris Ahmad tampil menjawab persoalan yang sering dimainkan oleh pihak yang tidak menyukai parti tersebut berhubung pulangan atau faedah yang diperoleh sekiranya rakyat memberikan sokongan kepada mereka.
Idris mengakui bahawa sekiranya difikirkan secara selapis, persoalan tersebut mungkin kelihatan logik memandangkan PAS bukan kerajaan Persekutuan, tidak mempunyai Perdana Menteri, dan menteri besar daripada parti itu juga tidak pernah menjanjikan sebarang projek atau habuan kepada penyokong.

Bagaimanapun, katanya, walaupun PAS dilemparkan dengan pelbagai gelaran dan tuduhan berat, parti berkenaan tetap mendapat tempat di hati rakyat.
"Bagi saya, semua label ini sebenarnya menjadi iklan percuma kepada PAS. Kami tidak marah, bahkan mampu tersenyum.
“Kerana kami memilih untuk menjawab dengan amalan, bukan dengan kemarahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu, fitnah dan tohmahan sedemikian bukan perkara baharu malah telah dihadapi sejak penubuhan parti pada tahun 1951.
“Ada yang menuduh PAS dipimpin oleh mullah, ada yang melabel PAS sebagai Syiah, Khawarij, Muktazilah, Wahabi, walaun, parti ajaran sesat, parti ekstrem, parti yang suka mengkafirkan orang, parti pak lebai, parti tin Milo dan bermacam-macam lagi.
“Bagi saya, semua label ini sebenarnya menjadi iklan percuma kepada PAS. Kami tidak marah, bahkan mampu tersenyum. Kerana kami memilih untuk menjawab dengan amalan, bukan dengan kemarahan,” katanya.

Dia menambah, sekiranya PAS benar-benar sesat seperti yang didakwa, adalah mustahil bagi ramai asatizah, ilmuwan Islam, dan majoriti tuan-tuan guru pondok untuk terus memberikan sokongan kuat kepada parti itu.
Tunjuk Akhlak Baik, Bukan Banyak Berhujah
Mengulas mengenai rungutan anak-anak muda yang berdepan kemarahan ibu bapa kerana menyokong PAS, Idris menasihatkan golongan tersebut agar tidak menggunakan emosi atau terlalu banyak berhujah.
"Sebaliknya, tunjukkan akhlak yang baik, hormati mereka, rajin membantu keluarga, bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan pekerjaan serta menjadi anak yang soleh.
“Apabila mereka melihat perubahan yang baik pada diri kamu, ketika itu kamu sedang berhujah tanpa berkata-kata," jelasnya.

Idris turut menjelaskan bahawa antara faktor utama tarikan PAS adalah dasar perjuangan yang jelas serta keterbukaannya menerima sesiapa sahaja sebagai ahli tanpa tapisan yang terlalu ketat, sebelum disusuli dengan proses tarbiyah dan pembinaan diri secara berterusan.
Dia juga menolak dakwaan yang menyatakan PAS tidak mendapat sokongan golongan profesional, dengan menegaskan ramai doktor pakar, akademik, dan pakar pelbagai bidang yang menyumbang idea serta polisi di belakang tabir.
Mengenai tohmahan kononnya PAS berlaku zalim terhadap masyarakat bukan Islam, Idris berkata rekod di negeri-negeri perintah PAS membuktikan golongan itu sentiasa bebas menjalankan kehidupan, aktiviti ekonomi, budaya, dan keagamaan dengan aman.

"Fitnah mungkin boleh menarik perhatian seketika, tetapi kebenaran yang dibuktikan dengan amalan akan bertahan lebih lama," katanya lagi.





