29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 15, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Amanah cabar Zaid pilih hudud atau Perlembagaan Persekutuan

    Shopee Sale

    Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil mencabar Zaid Ibrahim menyatakan pendiriannya berhubung perjuangan hudud PAS, susulan penyertaan bekas menteri itu ke dalam parti berkenaan.

    Faiz menyoal jika Zaid bersedia memohon maaf kepada PAS kerana sebelum ini pernah mencabar undang-undang hudud Kelantan, yang pernah dibawa ke Mahkamah Persekutuan atas dakwaan tidak bercanggah dengan perlembagaan.

    “Beranikah Zaid Ibrahim memohon maaf kepada PAS kerana pernah mencabar undang-undang hudud (Enakmen Jenayah Syariah II) Kelantan 1990 sekiranya beliau ikhlas mahu bersama PAS?

    “Kes ini pernah dibawa ke Mahkamah Persekutuan kerana didakwa tidak berperlembagaan.

    "Adakah sekarang Zaid telah berubah pendirian,” soalnya pada kenyataan hari ini.

    Dalam kenyataan sama, Faiz berkata PAS sebelum ini pernah mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak Islamik kerana disifatkan sebagai perlembagaan penjajah.

    Sehubungan itu, dia mencabar Zaid menyatakan pilihan antara mempertahankan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang hudud.

    “Saya cabar Zaid untuk memilih antara Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang hudud,” katanya.

    Pada 2002, Zaid ketika itu peguam dan ketua Umno bahagian Kota Baru, memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu berhubung undang-undang hudud.

    Dia mendakwa kedua-dua kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa perundangan untuk memperkenalkan atau meluluskan undang-undang jenayah.

    Zaid turut memohon pengisytiharan bahawa Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu serta Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 tidak sah dan tidak mempunyai kuat kuasa. Dia sekali lagi memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan pada 2003 untuk mencabar Enakmen Kesalahan Jenayah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 atas alasan tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

    Bagaimanapun, kemudian saman itu telah ditarik balik oleh Zaid. Ketika wawancara bersama Malaysiakini pada Mei 2014, Zaid berkata dia “diminta untuk menarik balik saman itu” tanpa menamakan pihak yang menyuruhnya berbuat demikian.

    Sementara itu, Faiz turut membangkitkan sama ada penyertaan Zaid ke dalam PAS ketika ini bertujuan membawa parti itu ke arah lebih liberal atau tidak.

    MENARIK:  Kes CBT babitkan RM6.6b: Tiada DNAA buat Najib, Irwan Serigar

    “Adakah usaha Zaid dalam PAS sekarang lebih kepada meliberalkan PAS?

    “Adakah PAS bersedia untuk menarik balik perjuangan hudud sekiranya PAS berjaya diliberalkan?” soalnya lagi.

    Pada malam Sabtu lalu (13 Jun) PAS mengumumkan penyertaan Zaid ke dalam parti itu dalam majlis yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan.

    Untuk rekod Negeri Sembilan bakal mengadakan pilihan raya negeri pada 1 Ogos nanti. Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 Julai.

    Selain Zaid, ada 14 nama diumumkan di majlis ceramah perdana tersebut. Antara mereka ialah bekas exco Perak dan bekas Naib Presiden Bersatu, Hamidah Othman; bekas pemain bola sepak, Azlan Johar; bekas setiausaha sulit Anwar Ibrahim, Rahimi Othman, dan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang pernah menyertai Amanah, Rosli Yaakop.

    Mereka menyerahkan borang permohonan menjadi ahli kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Mengulas penyertaannya ke dalam PAS, Zaid menyatakan pandangan sangat positif terhadap masa depan PAS.

    “Itulah sebabnya PAS akan mentadbir Malaysia bersama-sama dengan ahli parlimen progresif yang berfikiran sama selepas PRU akan datang,” katanya.

    Zaid yang yang sebelum ini pernah menyertai pelbagai parti – termasuk PKR dan DAP – juga menegaskan jika PAS memerintah tidak akan ada berlaku ketidakadilan.

    “Saya akan berusaha keras untuk menghilangkan imej PAS sebagai parti antidemokratik yang ekstrem, tidak sesuai untuk Malaysia yang berbilang budaya,” katanya pada kenyataan di media sosial semalam.

    PAS, kata Zaid, sebenarnya merupakan “satu-satunya parti majoriti Melayu” yang memiliki keazaman untuk membela semua pihak dengan memberi penekanan kepada aspek agama.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah