Pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan hukuman mati terhadap bekas penuntut kolej yang mengaku bersalah membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil, tiga tahun lepas.
Pada 14 Mei lepas, Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan terhadap Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23, selepas membenarkan rayuannya.
Peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Muhammad Fakrul Aiman mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan notis rayuan itu difailkan pada 25 Mei lepas.
"Pihak kami telah menerima notis berkenaan dan anak guam saya tidak akan memfailkan rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
"Dia menerima keputusan itu dan menganggap penghakiman berkenaan adalah adil, saksama serta tidak mempunyai sebarang kekhilafan yang memerlukan cabaran lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata Muhammad Fakrul Aiman kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Menerusi notis rayuan itu, pihak pendakwaan merayu terhadap keseluruhan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun yang mengubah hukuman mati kepada hukuman penjara 40 tahun dari tarikh tangkap (23 Mei 2023) dan 12 sebatan bagi kesalahan itu.
Pada 15 Okt 2025, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman mati ke atas Muhammad Fakrul, 23, selepas mengaku bersalah membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun serta maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.





