Kerajaan sepatutnya menghentikan eksport ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran sempena musim tengkujuh bagi memastikan bekalan dalam negara cukup dan harganya terkawal.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengetengahkan perkara itu susulan “kenaikan harga yang mendadak dalam tempoh hanya dua minggu”.
“Kenaikan harga ini boleh memberikan kesan serius kepada diet isi rumah berpendapatan rendah kerana mereka mungkin terpaksa mengurangkan barangan makanan penting kerana kos yang lebih tinggi,” kata presidennya Mohideen Abdul Kader.
Mohideen berkata tindakan bersama harus diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi membendung kenaikan itu.
Berikut perubahan harga hasil tinjauan mereka:
-
Kacang melonjak daripada RM9 kepada RM17.50 sekilogram
-
Bendi daripada RM7 kepada RM12.50
-
Kacang panjang daripada RM8 kepada RM20
-
Sawi daripada RM6 kepada RM12
-
Cili merah daripada RM8 kepada RM18.
Lokasi dan masa khusus tinjauan tidak dinyatakan.
Mohideen juga berkata peniaga telah diberi amaran bahawa harga sayur-sayuran dan buah-buahan boleh meningkat lagi.
Malaysia memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) bulan lepas dan dijangka berterusan hingga Mac 2025.
Fasa awal monsun ini menyebabkan banjir dan banjir kilat di pelbagai tempat di seluruh Malaysia.
‘Tuntutan kami diabaikan’
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, CAP juga menggesa unit penguatkuasaan KPDN menyiasat kenaikan harga yang mendadak, yang menyebabkan kesukaran ketara kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Katanya, walaupun gesaan berulang kali agar tindakan diambil, CAP mendapati Fama tidak mengambil langkah yang mencukupi dan berkesan untuk mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran.
“Tuntutan kami diabaikan,” kata Mohideen.
Mohideen juga menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkatkan kecekapan saluran pengedaran makanan.
“Mengurangkan perananan orang tengah, mewujudkan pasaran langsung, dan menambah baik rantaian bekalan yang semuanya ini boleh membantu mengurangkan kos,” katanya.
“Kerajaan juga perlu menyokong petani melalui subsidi yang disasarkan, program latihan agroekologi, dan bantuan kewangan, yang boleh meningkatkan pengeluaran dengan ketara dan membantu mengurangkan harga.”





