Timbalan pengerusi badan perhubungan Pulau Pinang sebuah parti politik antara lima individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dugaan penyalahgunaan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan bernilai jutaan ringgit.
Ketika dihubungi, satu sumber dalaman SPRM mengesahkan perkara tersebut.
"Suspek pertama merupakan seorang ahli politik dan juga pengerusi sebuah agensi kerajaan pusat dipercayai bersubahat bersama empat lagi suspek menyalahgunakan kedudukannya.
"Ketika itu suspek sebagai timbalan pengerusi dan ahli lembaga pengarah untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Prai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.
"Tindakan berkenaan telah menyebabkan agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian terbabit mengalami kerugian bernilai jutaan ringgit.
"Suspek terbabit juga dipercayai menggunakan kedudukannya meluluskan penjualan tanah tersebut pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta," katanya.
Memetik Bernama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi setiausaha agung parti itu yang kini merupakan komponen dalam kerajaan pusat untuk komen.
Terdahulu, Majistret Noor Idayu Salim mengeluarkan perintah reman selama empat hari sehingga 24 Ogos terhadap kesemua suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang pagi tadi.
Selain pemimpin politik tersebut yang juga ahli majlis tertinggi parti itu turut direman ialah dua pengarah syarikat, seorang pengurus teknikal dan seorang kerani.
Menurut sumber, empat lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan antara jam 11 pagi dan 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.





