PKR Ampang hari ini menyatakan pendirian tegas mahu "berpatah arang" dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, serta mendesaknya supaya segera meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi parlimen tersebut.
Timbalan Ketua PKR Ampang Daing Muhammad Reduan Bachok berkata tindakan serta pendirian Rodziah mutakhir ini telah mencetuskan keresahan yang besar dalam kalangan ahli dan penyokong parti di peringkat akar umbi.

Menurut Daing Muhammad Reduan, tindakan ahli parlimen itu yang dilihat semakin menjauh daripada pendirian serta kepimpinan utama parti menguatkan lagi persepsi wujudnya usaha untuk melemahkan perjuangan parti dari dalam.
"Atas prinsip maruah perjuangan dan penghormatan terhadap mandat rakyat, saya dengan tegas mendesak YB Rodziah Ismail supaya segera meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi Parlimen Ampang.
“Beliau tidak lagi mencerminkan semangat perjuangan serta kesetiaan kepada kepimpinan parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Daing Muhammad Reduan menjelaskan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat di Parlimen Ampang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu adalah atas nama Pakatan Harapan (PH) dan PKR.
Katanya, mandat itu, bukannya untuk dirosakkan oleh permainan politik dalaman mahupun percaturan kelompok individu.
Dia turut menegaskan bahawa seluruh saf kepimpinan akar umbi PKR di Ampang akan tetap berdiri teguh di belakang presiden parti, Anwar Ibrahim, dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana gerakan yang cuba menjejaskan kestabilan organisasi demi kepentingan peribadi.

Semalam, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan mereka akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) dalam satu majlis yang dihadiri kira-kira 800 penyokong di Petaling Jaya. Lapan ahli parlimen PKR hadir bersama, mereka termasuk Rodziah.
Setakat ini, hanya anggota parlimen Subang Wong Chen membayangkan niatnya untuk meninggalkan PKR dan menyertai Bersama, tetapi dia tidak menyatakan sama ada dia akan mengosongkan kerusinya sebelum penggal Dewan Rakyat berakhir atau tidak.
Rafizi dan Nik Nazmi hari ini menyerahkan surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, bagi memaklumkan peletakan jawatan mereka sebagai ahli parlimen bagi kawasan masing-masing di Pandan dan Setiawangsa.





