Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2025-2026 antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan pasukan yang pertama kali menjejakkan kaki di pentas akhir Kuching City FC pada 23 Mei ini akan diadili oleh pengadil luar negara.
Presiden Malaysian Football League (MFL) Ab Ghani Hassan berkata pihaknya telah membuat permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan empat pengadil luar negara termasuk dua pembantu pengadil dan satu pengadil VAR (Video Bantuan Pengadil).
"Keputusan untuk menggunakan kepakaran pengadil luar negara ini dibuat sebagai langkah untuk memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik selain menjamin integriti dan kelancaran perlawanan akhir yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.
“Kemuncak aksi final Piala Malaysia ini sudah pasti perlawanan yang berprofil tinggi jadi dengan standard pengadilan bertaraf antarabangsa, saya percaya ia akan meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong.
“Malah dengan kehadiran pengadil luar negara ini, ia juga sebagai pertukaran kepakaran di mana pengadil tempatan dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dalam usaha kita membangunkan kualiti pengadil tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ab Ghani berkata keputusan ini juga dibuat rentetan cadangan penggunaan pengadil luar negara yang dibangkitkan dalam sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga yang berlangsung pada 29 April lalu.
“MFL sentiasa mendengar cadangan rakan kongsi untuk sebarang penambahbaikan dalam semua aspek pengelolaan perlawanan namun dalam penggunaan pengadil luar negara, MFL perlu membuat pertimbangan yang baik apatah lagi ia melibatkan kos yang tinggi.
“Bagaimanapun langkah ini bukanlah sesuatu yang baru dalam saingan domestik di mana sebelum ini khidmat pengadil dari Jepun pernah digunakan bagi mengadili Final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak,” jelasnya.
Cadangan untuk menggunakan pengadil luar negara dibangkitkan selepas mutu pengadilan sering dipersoalkan.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini menyelar tindakan segelintir pihak menurutnya menjadikan mutu pengadilan sebagai kambing hitamkan setiap kali mengalami kekalahan dalam perlawanan bola sepak.
Tunku Mahkota Johor yang juga Pemangku Sultan Johor itu berkata dia sudah menyarankan kepada Kementerian Belia dan Sukan agar khidmat pengadil asing digunakan dalam perlawanan-perlawanan besar.





