Gabungan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menggesa supaya cadangan pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing baharu, The Universal Recruitment Advanced Platform (Turap), tidak menyebabkan peningkatan kos perniagaan yang membebankan majikan.
Pengerusi FMBA, Abdul Malik Abdullah berkata, sektor industri khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kini sudah terkesan dengan kenaikan yuran pembaharuan permit menerusi sistem sedia ada, Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS), yang mencecah RM215 bagi setiap pekerja.
“Salah satu kebimbangan utama komuniti perniagaan ialah potensi kenaikan yuran secara kumulatif melibatkan Turap, FWCMS dan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) pada masa depan.
"Salah satu kebimbangan utama komuniti perniagaan adalah potensi kenaikan yuran kumulatif merentasi Turap, FWCMS dan NIISe yang akan datang.
"Dengan yuran FWCMS baru-baru ini meningkat kepada RM215 setiap pekerja, kami berharap kementerian akan mempertimbangkan dengan teliti jumlah beban kos majikan terutamanya PKS dan sektor intensif buruh.
"Kami mengalu-alukan peluang untuk membincangkan tentang struktur yuran yang saksama dan mampan sebagai sebahagian daripada proses perundingan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain isu kos, FMBA mencadangkan agar kerajaan mengintegrasikan Turap dengan sistem sedia ada seperti FWCMS dan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) di bawah satu gerbang tunggal (single window).
"Kami menggalakkan kementerian untuk mempertimbangkan bagaimana Turap, FWCMS dan NIISe boleh disepadukan sepenuhnya bagi menyediakan majikan dengan pengalaman 'single window' yang lancar.
"Ini untuk mengurangkan pertindihan pentadbiran dan memudahkan proses pematuhan akan menjadi manfaat yang ketara kepada perniagaan dari semua saiz, dan akan mencerminkan agenda pendigitalan kerajaan yang lebih luas," katanya.
Bagi memastikan sistem tersebut praktikal untuk landskap perniagaan semasa, FMBA menawarkan diri sebagai rakan strategik kepada Kementerian Sumber Manusia.
"Input langsung daripada pemain industri akan menghasilkan sistem yang lebih kukuh dan relevan dengan keperluan pasaran.
"Buat masa ini, FMBA sedang mendapatkan nasihat undang-undang bagi meneliti landskap kawal selia berkaitan Turap sebelum menyerahkan memorandum rasmi kepada kementerian," tambahnya.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, R Ramanan menjelaskan bahawa Turap masih di peringkat perbincangan dan belum mendapat kelulusan rasmi kabinet.
Dia turut menyatakan bahawa kerajaan setakat ini tidak mempunyai isu untuk bekerjasama dengan Bestinet Sdn Bhd sebagai pembangun sistem, namun kertas cadangan penuh perlu dibentangkan terlebih dahulu.





