31.7 C
Kuala Lumpur
Friday, May 15, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    KATA MP | PAS Selangor gagal fahami erti hak, kebebasan rakyat

    Shopee Sale

    KATA MP | Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Hak dan kebebasan untuk bersuara serta berhimpun setiap warganya, terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Pada masa yang sama, Malaysia juga merupakan sebuah masyarakat berbilang kaum, agama, budaya, bahasa dan sebagainya, yang harus dijaga kepentingan dan keperluan masing-masing.

    Selaku Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki menggalas tanggungjawab untuk membawa isu yang menjadi keprihatinan penduduk Selangor ke dewan undangan negeri (DUN) untuk dibahaskan.

    Isu penternakan babi yang dibangkitkan Adun Seri Kembangan membabitkan kepentingan awam – antara keperluan sumber protein dan kelestarian alam – yang harus ditangani secara adil, telus, rasional dan profesional.

    Jika suara itu tidak boleh dibawa ke dewan yang mulia, ke manakah lagi suara rakyat boleh disampaikan dalam proses rundingan dan pembuat dasar?

    Di sini, kepentingan rakyat Selangor untuk mendapatkan sumber protein, kebebasan bersuara seorang Adun dan DUN, serta kebebasan berhimpun untuk PAS Selangor yang tidak bersetuju dengan pandangan Adun Seri Kembangan – semuanya terjamin.

    Situasi ini mencerminkan kematangan politik Malaysia untuk merungkaikan satu masalah yang rumit dalam sesebuah masyarakat berbilang.

    Sebagai mantan Adun yang pernah digantung selama setahun pada 2014 ekoran perbahasan saya yang mempersoal angka belanjawan Pahang, saya masih ingat bagaimana Adun PAS pada ketika itu (Rosli Abdul Jabar – Tanjung Lumpur, dan Andansura Rabu – Beserah) mempertahankan hak saya untuk berbahas.

    MENARIK:  Malaysiakini nafi siar laporan 'pengundi Nenggiri tolak masuk syurga'

    Malah mereka sudi keluar dari dewan bersama saya.

    Persoalannya, di manakah semangat PAS yang ada pada ketika itu sekarang?

    Malangnya PAS Selangor gagal memahami erti “hak dan kebebasan” yang rakyat dukung selama ini.

    PAS mahu menggunakan “kebebasan berhimpun” dirinya untuk menafikan “kebebasan bersuara” seorang Adun yang diamanahkan pengundinya untuk mengetengahkan satu isu yang berkait rapat dengan hak sumber protein.

    Tiada alasan untuk kerajaan Selangor mengambil tindakan ke atas Adun Seri Kembangan yang sekadar menjalankan tugasnya dengan berbahas secara beradab dalam DUN.

    Solidariti saya bersama Adun Seri Kembangan. Sokongan saya kekal bersama kedaulatan dewan. Hidup rakyat!


    LEE CHEAN CHUNG ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya di Selangor dan bekas Adun Semambu di Pahang.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah