Seorang penuntut kolej didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh pasangan suami isteri dalam insiden rempuhan di Jalan Ampang, berdekatan Great Eastern Mall, awal bulan ini.
Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi. Mahkamah menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa membunuh A Doraisingam, 61, dan isteri mangsa, A Menagah, 56, di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke Ampang Point pada jam 5.30 pagi 2 Mei.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Mohamad Shahrizzat Amadan dan Faizal @ Amrin Noor Hadi manakala lelaki itu diwakili peguam Devinder Kaur Dhaliwal serta Mansheel Kaur.
Pada 3 Mei lalu sepasang suami isteri maut akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal Honda Wave Alpha dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Toyota Vios.
Sementara itu, anak saudara Doraisingam, K Suresh Kumar, 47, yang ditemui selepas prosiding mahkamah berkata menjadi rutin harian mangsa menghantar isterinya bekerja di Hospital Gleneagles setiap pagi.
“Keluarga tertuduh ada memaklumkan hasrat berjumpa namun kami masih belum menemui mereka. Kami tidak mengharapkan apa-apa selain keadilan ditegakkan,” katanya.
Suresh Kumar memberitahu pasangan terbabit mempunyai tiga anak berusia 19 hingga 26 tahun.





