DAP dan Amanah hari ini meminta Umno menghormati mandat yang diberikan rakyat kepada mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu sehingga boleh membentuk kerajaan negeri.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menegaskan parti itu tetap menjunjungi prinsip raja berpelembagaan dan menyokong Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun untuk meneruskan tugas seperti biasa.
Katanya, DAP juga tidak mencampuri krisis perlembagaan yang berlaku di Negeri Sembilan, malah berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera.
"DAP menyatakan sokongan penuh kepada Aminuddin memangku jawatan Menteri Besar. Kelangsungan jawatan, kerajaan, mesti dipertahankan.
"Pakatan Harapan (PH)-BN itu mandat yang diberikan oleh rakyat. Apabila (Umno) tarik sokongan, itu bagi kita tak menghormati mandat rakyat Negeri Sembilan.
"Kita tak akan menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang," katanya dalam sidang media bersama Aminuddin di kediaman rasmi menteri besar di Seremban hari ini.
Terdahulu, Umno Negeri Sembilan mengumumkan semua 14 Adun parti itu menarik balik sokongan mereka terhadap Aminuddin.
Pengerusi Umno negeri itu, Jalaluddin Alias, berkata keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh semua Adun kerana hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Aminuddin.
Dia memberitahu sidang akhbar bahawa surat rasmi akan dihantar kepada speaker DUN dan setiausaha kerajaan negeri.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa kami mendukung penuh serta mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta undang-undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan dan mahukan kerajaan yang stabil supaya dapat memainkan perananan sebaik mungkin dalam pentadbiran negeri sekaligus dapat memberikan fokus kepada objektif kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri,” katanya.
Baca Krisis takhta Negeri Sembilan: Undang pecat Yang di-Pertuan Besar
Untuk rekod, baru-baru ini Negeri Sembilan berdepan dengan kemelut tersendiri apabila Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, diturunkan dari takhta oleh empat undang negeri tersebut.
Langkah itu didakwa dibuat secara sah mengikut Perkara 10 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.
Aminuddin kemudian mendakwa perisytiharan tersebut - yang dibacakan oleh salah seorang undang terbabit - sebagai tidak sah.

Mengulas lanjut, Loke berkata DAP menghormati keunikan dan keistimewaan Adat Pepatih dan kedudukan serta kuasa Undang Yang Empat untuk melantik dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
"Namun, sebarang tindakan untuk menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar mesti berlandaskan prinsip dan proses yang tertib berlandaskan Artikel X (1) Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan.
"Dalam konteks Adun-Adun, kita hormat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir masih Yang di-Pertuan Negeri Sembilan kerana Yang di-Pertuan Negeri Sembilan yang merasmikan pembukaan sidang DUN," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abd Rahman, berkata mereka menyokong penuh kepimpinan Aminuddin sebagai menteri besar dan pada masa sama kecewa dengan tindakan Umno.
"Sokongan penuh selagi Tuanku (Muhriz) sokong menteri besar, tidak ada yang boleh gugat, yang boleh jatuhkan kerajaan, (kecuali) jika sekumpulan yang dapat majoriti mengadap Tuanku, Tuanku berkenan.
"Sekarang ini belum berlaku lagi," katanya dalam sidang media sama.





