Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Wan Rohimi Wan Daud dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu petang ini, berhubung insiden memperlekeh anggota polis ketika sekatan jalan raya.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan Wan Rohimi kini dalam perjalanan dari Kedah ke Kelantan.
“Saya difahamkan beliau dijangka tiba di IPD Kota Bharu pada 6 petang ini untuk bertemu pegawai penyiasat dan memberi keterangan lanjut berhubung insiden berkenaan,” katanya.
Beliau berkata polis juga akan memanggil beberapa saksi lain yang berada di lokasi ketika kejadian bagi membantu siasatan.
Semalam, polis membuka kertas siasatan berhubung sebuah rakaman video tular menerusi media sosial, yang memaparkan tindakan seorang individu lelaki memperlekeh anggota polis yang sedang bertugas dalam sekatan jalan raya.
Sebelum ini, tular di media sosial tentang penganjuran program “Konvoi & Lepak Mat Motor Bersama YB” yang didakwa dianjurkan oleh Kelab Penyokong Kerajaan dan Dewan Pemuda PAS Kelantan, bermula 5 hingga 7 petang.





