ASEAN perlu bertindak tegas bagi mengelakkan Selat Melaka menjadi medan pertembungan kuasa besar, kata seorang pakar maritim, ketika ketegangan di Teluk berisiko merebak ke Asia Tenggara.
Penganalisis dan sarjana maritim Nazery Khalid berkata blok serantau itu perlu memanfaatkan pengaruh diplomatik serta hubungannya dengan kuasa besar termasuk Amerika Syarikat dan China, bagi meredakan ketegangan dan melindungi laluan laut utama Asia Tenggara.
“Sebagai sebuah persatuan yang dibina atas prinsip berkecuali dan tidak memihak, ASEAN perlu menangani sebarang kemungkinan ketegangan yang boleh menjejaskan keselamatan serantau sejak awal,” katanya kepada Bernama.
Nazery menegaskan negara anggota ASEAN perlu secara kolektif menggunakan kebijaksanaan tataurus negara bagi mengelakkan kuasa besar daripada terjerumus dalam konfrontasi dan mencegah pertembungan berpanjangan yang boleh menjejaskan perdagangan, ekonomi dan keselamatan rantau ini.
Beliau memberi amaran bahawa konflik berpanjangan di Teluk, dengan permusuhan masih belum menunjukkan tanda reda dan Selat Hormuz disekat secara efektif, boleh meningkatkan risiko ketegangan merebak ke satu lagi laluan penting perdagangan dan tenaga global, iaitu Selat Melaka.
Ketika kapal yang dinafikan laluan melalui Selat Hormuz terus bertambah di Teluk Oman dan Teluk Parsi, beliau berkata keadaan itu akan memberi kesan domino kepada pelabuhan yang mempunyai hubungan dengan rantau berkenaan.
“Pelabuhan di sepanjang Selat Melaka, khususnya Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Singapura yang mempunyai jaringan luas dengan pelabuhan di Teluk, berisiko terjejas jika penutupan Selat Hormuz berlarutan.
“Gangguan terhadap perkhidmatan perkapalan antara kedua-dua rantau boleh menyebabkan lambakan kargo di pelabuhan berkenaan dan seterusnya mewujudkan kesesakan dalam rantaian bekalan.
“Keadaan ini tidak dapat dielakkan memandangkan pelabuhan saling berhubung dalam landskap perdagangan maritim global serta sifat rantaian bekalan global yang bersepadu,” jelasnya.
Beliau berkata walaupun risiko limpahan masih terhad buat masa ini, risiko itu boleh meningkat sekiranya konflik berlarutan dan semakin meruncing.
Nazery berkata ASEAN tidak mempunyai kerangka perundangan mengikat seperti Kesatuan Eropah, bermakna negara anggotanya tidak terikat secara undang-undang kepada visi, konsensus atau inisiatif strategik blok itu.
“Negara anggota hanya terikat dengan komitmen untuk mematuhi aturan berasaskan peraturan selaras dengan undang-undang antarabangsa, memupuk hubungan baik sesama mereka (contohnya melalui Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN dan pelbagai kumpulan kerja) serta secara kolektif menggalakkan hubungan sosioekonomi dan keselamatan dengan negara luar melalui platform pelbagai hala,” katanya.
Sebagai negara berdaulat, Nazery berkata anggota ASEAN bebas mengejar kepentingan nasional masing-masing sambil menegakkan prinsip tidak campur tangan serta beroperasi berasaskan konsensus dan fleksibiliti.
Beliau berkata usaha ASEAN untuk memastikan selat itu kekal terbuka, selamat untuk perkapalan antarabangsa dan dilindungi dari segi alam sekitar tidak berasaskan mana-mana piagam serantau, sebaliknya berpaksikan komitmen bersama untuk mengekalkan hubungan baik, memelihara keharmonian serantau dan bekerjasama dalam isu serantau serta antarabangsa.
Pada 22 April, laporan media menyebut Indonesia sedang mempertimbangkan untuk mengenakan levi ke atas kapal komersial yang melalui Selat Melaka, sebagai usaha menjadikan antara laluan perkapalan tersibuk dunia itu sebagai sumber baharu hasil negara.
Namun, Menteri Luar Sugiono berkata Jakarta tidak akan mengenakan tarif terhadap kapal yang melalui selat itu, sambil menyatakan langkah sedemikian tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Menurut Agensi Berita Antara, beliau menegaskan Indonesia menghormati undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS.
Dalam konteks itu, Nazery berkata walaupun negara yang meratifikasi UNCLOS mempunyai hak berdaulat ke atas perairan wilayah masing-masing, hak itu perlu dilaksanakan selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Selat Melaka ditakrifkan sebagai selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa; oleh itu UNCLOS terpakai dan menjamin hak laluan bebas tanpa halangan bagi kapal komersial dan tentera di bawah prinsip laluan transit,” katanya.
Beliau berkata negara pesisir, iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura, secara kolektif bertanggungjawab memastikan pelayaran selamat, aliran trafik yang teratur dan perlindungan alam sekitar.
“Sebagai negara penandatangan kepada UNCLOS serta anggota Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mereka terikat dari segi undang-undang untuk memastikan laluan itu kekal terbuka kepada semua kapal yang menggunakan hak laluan transit,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa pelaksanaan tol atau bayaran akan bercanggah dengan tanggungjawab itu dan menjejaskan prinsip kebebasan pelayaran.
“Oleh itu, mengenakan bayaran ke atas kapal yang melalui selat berkenaan akan menafikan hak mereka dan dianggap bersifat diskriminasi, sekali gus bertentangan dengan semangat UNCLOS serta aturan berasaskan peraturan,” katanya.





