26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 2, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Dakwaan ‘Mafia Korporat’: Tei heret Azam Baki ke balai polis

    Shopee Sale

    Ahli perniagaan Albert Tei tampil membuat laporan polis terhadap Azam Baki berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

    Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas menyemak rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung pemilikan saham oleh ketua pesuruhjaya SPRM itu seperti mana pendedahan oleh media kewangan global Bloomberg, pada Selasa lalu.

    Tei mempersoalkan kemampuan kewangan ketua agensi antirasuah itu untuk membeli saham yang didakwa bernilai sekitar RM3 juta melalui tiga syarikat iaitu Velocity Capital Partners Berhad, Awanbiru Technology Berhad dan sebuah lagi syarikat pada 2021.

    "Di sini saya nak tanya, 17.7 juta saham dimilikki oleh Azam Baki namun dia menafikan, semalam saya telah beli rekod SSM yang secara jelas tertera nama Azam Baki, dalam modal berbayar dia syarikat ini dia pegang saham yang bernilai RM800000, namun dia menafikan. Bermakna apa? Sistem SSM yang salah?

    "Dia pegang saham di sebuah syarikat bernama Awanbiru Technology Berhad sebanyak empat juta lebih saham, nilainya lebih RM1 juga. Campur lagi pada hujung tahun 2021 dia pegang lebih kurang hampir RM1 juta nilai saham.

    "Semua campur tiga syarikat ini lebih kurang dalam RM3 juta, di mana dia dapat wang sebesar itu untuk beli saham?" dakwa Tei pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

    Selepas pendedahan dan dakwaan terhadapnya, Azam berkata dia sedia untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung pemilikan sahamnya.

    “Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, semua pengisytiharan kewangan dan asetnya dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam yang terpakai dan melalui saluran rasmi seperti yang ditetapkan untuk setiap penjawat awam.

    “Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.

    “Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya lagi.

    Sebagai penjawat awam dan ketua agensi penguatkuasaan, Azam menjelaskan dia percaya mana-mana individu yang berdepan dakwaan harus terbuka dan bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.

    MENARIK:  Malaysia sambut baik ICJ arah Israel henti serang Rafah

    “Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya.

    Terdahulu Malaysiakini turut mengesahkan laporan pemilikan saham Azam melalui Velocity Captal melalui rekod SSM.

    Nilai saham tersebut hampir RM800,000 pada pembukaan dagangan pada Selasa, jauh melebihi had yang dikenakan kepada penjawat awam yang tidak dibenarkan membeli lebih RM100,000 saham dalam satu-satu syarikat.

    Tidak jelas bila Azam memperoleh saham tersebut.

    Namun, semakan terhadap sejarah harga saham Velocity Capital Partners di Bursa Malaysia menunjukkan nilainya relatif tidak berubah sejak Ogos 2022 pada sekitar RM0.045 sesaham dan pernah memuncak hampir RM1.50 sesaham pada April 2019.

    Tei secara menyindir mendakwa dengan anggaran gaji dan elaun ketua pesuruhjaya SPRM sebanyak RM25,000, Azam perlu menyimpan selama 10 tahun keseluruhan gajinya untuk membeli saham-saham tersebut.

    "Ini tidak masuk akal, tidak munasabah, saya telah kira gaji dia sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, termasuk elaun macam-macam dalam RM25,000. Bermakna dalam 10 tahun dia tidak makan, tidak bayar kereta, rumah, anak sekolah, tidak guna telefon bimbit, baru dia mampu simpan RM3 juta.

    "Selama 10 tahun isteri dia tak beli baju, seluruh keluarga tak makan baru dia mampu membiayai saham ini. Jadi ini secara terang dia telah langgar pekeliling JPA, namun dia kata sudah isytihar.

    "Saya nak tanya siapa yang beri kelulusan khas kepada dia? Siapa yang beri pengecualian kepada dia? Dua orang saja yang boleh beri pengecualian, satu ketua setiausahan negara ataupun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Jadi apa yang dilaung-laungkan tatakelola, integriti, semuanya bohong," dakwanya lagi.

    Tei turut mengulas pendedahan mengenai SPRM yang dikaitkan dengan “mafia korporat” dan menggesa siasatan segera diambil pihak berkuasa.

    "Saya memohon pihak polis membuat tindakan segera supaya Azam disiasat mengikut peraturan penjawat awam (kelakuan dan tatatertib) 1993, Akta SPRM salah guna kuasa dan akta pencegahan pengubahan wang haram.

    "Akhir sekali kita semua berdoa agar Anwar menyambung kontrak Azam Baki sebab dia paling cemerlang, tiada yang setanding dengan dia," katanya dengan nada sindiran.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah