Parti Bersama Malaysia menyelar sekatan terhadap Pengarah Eksekutif Bersih Asraf Sharafi Mohd Azhar daripada memasuki Sabah.
Parti serpihan PKR itu berpendapat, walaupun mempunyai autonomi kawalan imigresen, ia mesti dilaksanakan secara adil, bertanggungjawab dan berasaskan alasan yang munasabah.
“Penggunaan kuasa secara wewenang tanpa penjelasan yang sewajarnya hanya akan menimbulkan persepsi negatif serta menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti proses membuat keputusan,” kata presidennya Syukri Razab.

Asraf Sharafi semalam mendedahkan di media sosial bahawa dia dimaklumkan namanya dimasukkan dalam senarai notis amaran Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam tujuh malam.
Dia kemudian dihalang daripada memasuki negeri itu sebelum dihantar pulang ke Kuala Lumpur setelah 18 tahun berulang-alik.
Tindakan itu berlaku beberapa jam selepas Asraf Sharafi bersama sekumpulan aktivis berarak ke parlimen bagi menyerahkan memorandum menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan kewujudan "mafia korporat" yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Suara anak-anak yang sedang menunggu untuk melihat ayah mereka, namun akhirnya kecewa, masih terngiang-ngiang di telinga. Aku pun masih bungkam untuk menenangkan isteri,” katanya dalam hantaran di media sosial malam tadi.
Dalam kenyataan berasingan, Bersih menggesa kerajaan Sabah menarik balik sekatan yang disifatkan mereka sebagai pencabulan terhadap kebebasan asasi aktivis rakyat.
Dalam kenyataan tengah hari ini, Syukri berkata Asraf Sharafi memang menetap di Kota Kinabalu kerana berkeluarga dengan orang tempatan dan menjadi rutinnya berulang-alik ke Kuala Lumpur.
“Justeru sekatan ini bukan sahaja memberi implikasi besar mengenai persepsi awam terhadap penggunaan kuasa secara wewenang, tetapi juga kepada kesejahteraan keluarga yang terlibat,” katanya.
Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi dalam hal ehwal imigresen masing-masing, termasuk kuasa menghalang individu dari Semenanjung Malaysia memasuki negeri itu.
Pengkritik sejak sekian lama mendakwa kuasa itu kadang-kadang disalah guna bagi menghalang aktivis dan ahli politik yang mengkritik kerajaan.





