Drama kepolisian paling popular di Malaysia kini kembali dengan lembaran baharu menerusi siri Gerak Khas 2.0.
Artikel Berkaitan: Yusof Haslam Gembira Syamsul & Puteri Sarah Berkawan Baik – ‘Mereka Langsung Tidak Bermusuhan Antara Satu Sama Lain’
Artikel Berkaitan: Yusof Haslam Gembira Syamsul Yusof Kembali Ceria – ‘Saya Nasihatkan Dia, Apa Sekali Perjuangan Kena Teruskan’
Perjuangan Yusof Haslam

Figura kuat di belakang drama ikonik ini iaitu penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam, mendedahkan drama bertemakan kepolisian merupakan antara naskah yang telah lama dihasilkannya.
Dalam masa yang sama, Yusof atau nama lengkapnya, Mohd Yusof Md. Haslam Khan, 72, juga menzahirkan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kerjasama yang diberikan sejak dari dahulu lagi.
Saya berjuang buat drama siri kepolisian sejak tahun 1985. Saya bina syarikat dan pada bulan ketiga terus kita buat drama bersiri. Sudah 41 tahun dan saya bermula daripada drama kepolisian sebenarnya.
Saya ucapkan terima kasih kerana ini adalah hubung kait dengan pihak PDRM. Tanpa kerjasama ini, saya rasa saya tak boleh buat.
Sebenarnya Gerak Khas ni adalah satu semangat bagi saya. Semangat juang saya sebab minat dengan dunia kepolisian dan kerana itulah saya teruskan.
Yusof berkata demikian semasa sidang media drama Gerak Khas 2.0 yang berlangsung di TGV, Suria KLCC pada Selasa.
Sementara itu, Yusof menegaskan, drama yang bakal bersiaran di TVS (TV Sarawak) tersebut adalah hasil usahanya sendiri dan bukan diperoleh menerusi kepentingan dengan mana-mana pihak.
Saya ucapkan terima kasih banyak kepada pihak TVS atas kepercayaan, ini bukan kabel. Kadang-kadang ada yang berkata, ‘Wah kabel kau baguslah, sambung lagi? Kenapa tak habis-habis? Mesti kabel’
Tidak ada kabel, Lillahitaala. Dahulu pun ada yang mahu menghentikan tayangan Gerak Khas namun ada juga yang mempertahankan drama ini kerana ia adalah anchor program mereka dan mempunyai rating yang tinggi.
Tetapi tuhan masih beri saya kudrat dan anak-anak juga menyokong siri ini.
Untuk info, Gerak Khas 2.0 diterbitkan oleh Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Production yang julung kalinya disiarkan di TVS pada 3 Julai ini.
Drama ini turut menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya, Erra Fazira, Datuk Hans Issac, Salina Saibi, Anding, SAC (B) Datuk Shaharon Anuar, Deen Maidin dan ramai lagi.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, Gerak Khas telah mencatat 20 musim dan 1,054 episod serta mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai drama prime time paling lama bersiaran di Malaysia.
The post Yusof Haslam Kembali Dengan Gerak Khas 2.0, Nafi Guna ‘Kabel’ – ‘Semangat Juang Saya Sebab Minat Dengan Dunia Kepolisian’ first appeared on OHBULAN!.





