Ketika parti-parti politik sedang memberi tumpuan dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) di Johor, Dr Mahathir Mohamad, hadir untuk menyuarakan kebimbangannya betapa kesan pilihan raya amat berat.
Menurut bekas perdana menteri dua kali itu, pilihan pengundi akan menentukan sama ada negara ini – yang dirujuknya sebagai Tanah Melayu – akan kekal sebagai Tanah Melayu atau bukan lagi Tanah Melayu.
Tambah Mahathir, dalam sesebuah pilihan raya rakyat negara ini terutamanya orang Melayu akan dihadapkan dengan isu pilihan calon dan pengundian mereka akan memberi kesan yang besar terhadap negara.
“Kesan pilihan amat berat, iaitu sama ada Tanah Melayu akan terus jadi Tanah Melayu atau jadi tanah bukan Melayu.
“Kalau kita ingin negara ini terus kekal sebagai Tanah Melayu, undilah calon Melayu tanpa (perlu ada) kesetiaan kepada mana-mana parti atau puak NGO.
“Siapa dianya calon Melayu. Itu akan diberitahu semasa PRU,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan dibuat Mahathir itu hadir menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan yang masing-masing akan diadakan pada 11 Julai serta 1 Ogos nanti.
Kehangatan kempen di Johor diwarnai dengan pelbagai perkembangan melibatkan parti politik yang bertanding, termasuk pertikaian sesama komponen dalam gabungan serta sokongan terhadap calon tertentu.
Bangsa tanpa negara
PAS misalnya mengambil keputusan drastik apabila menamatkan hubungan politik mereka dengan Bersatu walaupun sebelum ini kedua-dua parti memperlihatkan kesepakatan yang tinggi.
Pemimpin PAS juga menekankan keperluan memberikan sokongan kepada parti itu di tempat mereka meletakkan calon, serta mana-mana calon lain asalkan bukan PH. Percaturan itu diambil, kata PAS, untuk memastikan PH gagal memenangi kerusi di Johor.
Arahan itu termasuk di kawasan yang melibatkan calon campuran Melayu dan bukan Melayu.
PAS kali ini meletakkan calon di hanya 11 kerusi berbanding Bersatu (16) dan Parti Rakyat India Malaysia (lima) dan Pejuang (satu). Jumlah keseluruhan kerusi DUN Johor ialah 56.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula memberikan ‘fatwa’ dengan mewajibkan pengundi beragama Islam untuk keluar pada hari mengundi bagi memastikan kuasa pemerintahan tidak dirampas oleh “pihak lain”.
Katanya, urusan memilih pemimpin dan mentadbir negara menerusi politik adalah sebahagian daripada tuntutan agama yang tidak boleh dipisahkan seperti difahami oleh idelologi sekularisme.
Mahathir – yang dilantik PN sebagai penasihat kepada empat negeri ditadbir gabungan tersebut – menegaskan bahawa kesetiaan orang Melayu sepatutnya adalah kepada bangsa Melayu.
Tegasnya, jika kesetiaan tersebut diberikan kepada parti atau puak lain, akan hilanglah Tanah Melayu.
“Tanpa Tanah Melayu akan hilanglah bangsa Melayu di dunia ini. Melayu akan jadi bangsa yang tidak mempunyai negara,” katanya lagi.





