Konsert Black On White: Cromok-Barbarik yang berlangsung di Idea Live Arena, 3 Damansara pada Sabtu lalu membuktikan muzik rock dan thrash metal tempatan masih mempunyai kelompok peminat yang cukup setia.
Artikel Berkaitan: Konsert Black On White Cromok-Barbarik Berlangsung 27 Jun Ini, Bawa Segment Tribute Kumpulan Kembara
Muss selesaikan tanggungjawab

Menggabungkan dua nama besar, Cromok dan Barbarik, konsert tersebut tampil sebagai sebuah persembahan yang padat dengan tenaga, nostalgia dan kualiti muzik yang memuaskan dari awal hingga akhir.
Apa yang menjadikan malam itu lebih bermakna ialah komitmen vokalis Barbarik, Muss yang tetap meneruskan persembahan biarpun isterinya sedang bertarung dengan komplikasi penyakit kencing manis di hospital.
Difahamkan, keadaan isterinya kembali kritikal sebelum konsert bermula, namun berita itu hanya dimaklumkan kepada Muss selepas persembahan selesai bagi memastikan fokusnya di atas pentas tidak terganggu.
Selepas menamatkan persembahan, Muss terus bergegas ke hospital untuk menemani isterinya, sekali gus memperlihatkan semangat profesionalisme yang cukup tinggi.
Bertenaga!

Konsert dibuka penuh bertenaga oleh Cromok menerusi lagu-lagu seperti Black Fury, Prophecy, Stranger, Memories, Another You, I Don’t Belong Here, Misery dan Little One yang berjaya menghangatkan suasana.
Lebih menarik, Cromok turut memperdengarkan karya baharu berjudul Wisdom, sekali gus membuktikan mereka masih aktif menghasilkan material baharu dan bukan sekadar bergantung kepada lagu-lagu klasik.
Pemain gitar Cromok, Karl berkata, keberanian mempersembahkan lagu baharu adalah penting bagi menunjukkan kumpulan itu masih produktif.
Kita kena tunjuk kita produktif. Bukan semua orang berani main lagu baharu yang belum keluar. Jadi kita kena didik peminat. Penonton yang datang malam ini beruntung sebab mereka menjadi orang pertama yang dengar.
Satu lagi momen yang cukup menyentuh hati apabila Cromok mendedikasikan lagu Fallen Heroes sebagai penghormatan kepada Allahyarham Din dan Miji yang banyak berjasa dalam sejarah penubuhan kumpulan itu.
Sementara itu, Barbarik pula meneruskan momentum dengan deretan lagu seperti Peluru Cokelat, Kasmaran Selamanya, Mencari Asal Usul, Nasib Baik, Periok Api, Inspirasi Syakilla, Sakit Bantal Empuk, Keris Tak Ada Sarong, Gerhana dan Golok Kayu.
Untaian lagu hits

Antara kemuncak konsert ialah segmen medley lagu-lagu popular Kembara seperti Hati Emas, Impian Seorang Nelayan, Ekspress Rakyat dan Impian Anak Jalanan yang membuatkan seluruh dewan turut menyanyi bersama.
Lebih mencuri perhatian apabila vokalis Cromok iaitu Sam, tampil menyampaikan lagu-lagu Melayu dalam segmen tersebut, sesuatu yang jarang disaksikan peminat.
Menurut Sam, pemilihan lagu-lagu berkenaan dibuat kerana mahu semua penonton menikmati persembahan tanpa mengira latar belakang muzik masing-masing.
Karl pula menyifatkan konsert itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah teknikal besar, selain gembira melihat sambutan hangat yang diberikan penonton sepanjang malam.
Secara keseluruhan, Black On White berjaya menggabungkan persembahan bertenaga, sistem bunyi yang kemas, elemen nostalgia serta material baharu dalam satu malam yang cukup menghiburkan.
Dianjurkan oleh Karl Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik serta sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures, konsert ini membuktikan muzik rock tempatan masih mempunyai pasaran yang kukuh dan wajar terus diberi ruang untuk berkembang.
The post Rock Belum Mati! Cromok & Barbarik Bukti Muzik ‘Thrash Metal’ Tempatan Masih Berbisa first appeared on OHBULAN!.





