Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, supaya mengembalikan segera kekurangan peruntukan kerajaan Persekutuan kepada Pulau Pinang yang berjumlah RM2.8 bilion bagi tempoh tahun 2023 hingga 2025.
Katanya, tindakan itu perlu bagi memastikan hak kesamarataan di bawah undang-undang dipatuhi serta mengelakkan rakyat negeri itu daripada terus dirugikan berbanding sumbangan kewangan yang telah diberikan.
“Bagi membalas sokongan padu 1.8 juta rakyat Pulau Pinang kepada perdana menteri dan kerajaan perpaduan, Anwar sepatutnya memulangkan serta-merta kekurangan peruntukan sebanyak RM2.8 bilion bagi tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025.
“Kegagalan berbuat demikian akan mencetuskan rasa terkilan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang bahawa sokongan mereka kepada Anwar dan kerajaan perpaduan tidak dihargai serta diambil mudah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Lim berkata demikian ketika mengulas pembentangan purata sumbangan negeri-negeri di Semenanjung kepada kerajaan Persekutuan serta jumlah peruntukan yang diterima kembali bagi tempoh 2023 hingga 2025 oleh Anwar di Dewan Rakyat semalam.
Anwar semalam, menegaskan, hampir semua negeri menerima peruntukan kerajaan Persekutuan lebih tinggi berbanding hasil cukai disumbangkan kecuali Selangor dan Pulau Pinang yang mencatat kutipan hasil lebih besar.
Katanya, agihan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat, sekali gus menolak dakwaan kononnya terdapat negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan.
Lim seterusnya menyenaraikan sumbangan yang diterima oleh Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kedah serta jumlah peruntukan yang diterima oleh negeri-negeri berkenaan.
-
Selangor: Sumbangan RM43.6 bilion, terima RM15 bilion.
-
Johor: Sumbangan RM14 bilion, terima RM16 bilion.
-
Pulau Pinang: Sumbangan RM10.7 bilion, terima RM7.9 bilion.
-
Kedah: Sumbangan RM3.7 bilion, terima RM9.5 billion.
Mengulas lanjut, pemimpin DAP itu menegaskan bahawa tiada justifikasi untuk Pulau Pinang menerima peruntukan yang lebih rendah daripada Kedah, memandangkan negeri itu memberikan sumbangan yang jauh lebih besar.
Malah, katanya, Kedah yang merupakan negeri di bawah kawalan pembangkang menerima RM9.5 bilion berbanding Pulau Pinang yang hanya menerima RM7.9 bilion.
Justeru, kata Lim, pemulangan dana sebanyak RM2.8 bilion kepada Pulau Pinang adalah wajar.
Sebagai langkah jangka panjang, Lim turut meminta perdana menteri merangka satu formula keadilan untuk semua bagi memastikan pengagihan peruntukan pada masa hadapan adalah saksama dan Pulau Pinang tidak lagi dipinggirkan berbanding negeri-negeri lain.





