31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 1, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Tokoh sastera terpalit dakwaan gangguan seksual

    Shopee Sale

    Seorang tokoh sastera terpalit dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa penulis wanita.

    Dia antara didakwa sering menghujani mangsa dengan pelbagai mesej manja, memberi grafik lambang dan kata-kata cinta serta menggambarkan ciuman seperti “muah”.

    Tidak tahan dengan gangguan itu, dua penulis muda tampil membuat laporan polis, iaitu penulis Sarah Ross dan Maghfirah TMZ, serta berkongsi pengalaman di media sosial.

    Menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat, Sarah Ross mendakwa kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu, namun dia memilih untuk berdiam diri kerana enggan memanjangkan isu.

    Pada peringkat awal, dia menyangka mesej-mesej yang diterima mungkin dihantar oleh akaun palsu.

    Bagaimanapun, selepas membuat semakan terhadap akaun Facebook individu terbabit, dia percaya akaun itu adalah milik sebenar pelaku.

    Berdasarkan perkongsiannya, terdapat beberapa penulis wanita lain yang turut mendakwa menerima mesej berbaur seksual daripada sasterawan negeri itu.

    Sarah kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru, Melaka pada 28 Jun lalu. 

    Dia juga berharap lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

    “Semoga semua mangsa berani tampil untuk buat laporan polis. Jangan membudayakan perlakuan membuli mangsa. Anda bukan mangsa, anda tak tahu tekanan emosi dan trauma yang dilalui mangsa.

    “Jangan jadi hakim menuding jari kepada mangsa. Hulurkan empati, bukan sindiran atau menyalahkan,” katanya.

    Sementara Maghfirah pula membuat laporan polis pada 29 Jun tetapi tidak mendedahkan kandungannya.

    “Gangguan seksual di media sosial dan grooming (pengantunan) secara seksual adalah jenayah berat, bukan gosip murahan.

    “Mangsa ada yang terjejas kesihatan mental dan menghadapi trauma sepanjang hidup.

    “Mungkin yang terkena orang lain bukan anda, tetapi jangan jadikan ini sebagai tiket untuk menjadi penyokong bagi kelakuan tidak senonoh dan jijik ini,” katanya.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, kedua-dua penulis muda itu enggan mendedahkan butiran lanjut buat masa ini, selain daripada yang dikongsi di media sosial.

    MENARIK:  Polis: Suspek kes tikam tak pernah luah perasaan pada mangsa

    Persatuan penulis kecam: ‘Dunia sastera sepatutnya ruang selamat’

    Sementara itu, sebuah persatuan penulis tampil menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas terhadap pelaku.

    Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) menyifatkan dakwaan tersebut sebagai serius kerana melibatkan individu yang selama ini diangkat sebagai tokoh sastera, pejuang sastera dan pembimbing bengkel penulisan.

    Kavyan yang diasaskan oleh penulis terkenal Uthaya Sankar SB menyatakan sokongan terhadap keberanian Sarah Ross dan Maghfirah TMZ yang tampil membuat laporan polis. 

    “Dunia sastera kebangsaan sepatutnya menjadi ruang selamat untuk sesiapa sahaja melibatkan diri tanpa perlu bimbang kemungkinan ada pihak cuba mengambil kesempatan, termasuk melakukan amang seksual dan gangguan seksual,” kata Kavyan.

    Uthaya Sankar SB

    Dia juga mendakwa terdapat segelintir warga sastera yang meminta mangsa supaya tidak mendedahkan perlakuan individu terbabit atas alasan menjaga nama baik dunia sastera.

    “Pandangan, pendirian dan nasihat seperti ini sebenarnya memenangkan pemangsa kerana meminta mangsa berdiam diri,” menurut kenyataan itu lagi.

    Tokoh sastera itu ketika dihubungi Malaysiakini semalam menafikan dakwaan itu dan berkata dia tidak tahu apa-apa mengenai tuduhan yang dibangkitkan.

    DBP pandang serius, serah pada pihak berkuasa

    Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataannya hari ini berkata mereka memandang serius sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu serta keharmonian dalam komuniti sastera. 

    “Sehubungan dengan itu, DBP menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang,” kata badan itu.

    DBP juga menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai dan keputusan dibuat oleh pihak yang berkuasa.

    “Sebagai institusi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera, DBP akan terus berusaha memelihara ekosistem kesusasteraan yang berteraskan nilai integriti, profesionalisme, saling menghormati dan rasa tanggungjawab,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah