PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila beberapa ahli Parlimen bertikam lidah berhubung dakwaan Kelantan mencatatkan jumlah kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang tinggi.
Kekecohan tercetus apabila Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membangkitkan kenyataan RSN Rayer (PH-Jelutong) semalam yang mendakwa kes seksual membabitkan kanak-kanak di Kelantan berada pada tahap membimbangkan.
Sambil membidas Rayer, Ahmad Fadhli berkata dakwaan pemimpin DAP tersebut tidak disokong statistik rasmi dan bercanggah dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Tak pernah dalam statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, Kelantan muncul sebagai negeri tertinggi dalam apa jua jenayah seksual yang membabitkan kanak-kanak.
“Memetik media sana sini tanpa sebarang statistik adalah satu jenayah akademik yang tidak boleh dilakukan oleh seorang ahli Parlimen dan ini merupakan politik murahan untuk berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” kata Ahmad Fadhli ketika mencelah sesi menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026.
Rayer terus bangkit dan menjawap merujuk kepada laporan yang diterbitkan oleh beberapa media yang menunjukkan statistik kes kesalahan seksual di Kelantan semakin meningkat.
“Semasa saya berbahas semalam, saya merujuk kepada laporan yang diterbitkan oleh NST dan Free Malaysia Today yang menunjukkan statistik kes kesalahan seksual di Kelantan semakin meningkat.
“Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diputar belit," katanya sambil menambah bahawa soalannya adalah mengapa kerajaan tidak memberi tumpuan untuk mengurangkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang semakin berleluasa di Kelantan.
Tindakan itu mendorong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berulang kali meminta supaya isu berkenaan tidak dipolitikkan sambil mempertahankan laporan yang dibangkitkan oleh Rayer.
"Perkara itu (laporan media) tidak boleh dinafikan dan angka-angka juga sudah diberikan," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) mencelah dan menjelaskan bahawa laporan yang dipetik Rayer bertajuk "Kelantan antara negeri kes jenayah seksual tertinggi, kata Pengarah JSJ Bukit Aman" adalah bertarikh 16 Mac 2023.
Dia sebaliknya berkongsi laporan yang lebih baharu bertarikh 15 Mei 2024 bertajuk "Selangor tertinggi bagi kes jenayah seksual sejak tiga tahun lalu".
"Kenapa? Kerana populasinya (Selangor) tinggi. Jadi, jangan politikkan perkara ini.
Suasana Dewan yang semakin tegang akhirnya ditenangkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau yang mengingatkan semua ahli Parlimen supaya mematuhi peraturan mesyuarat.
Sebelum itu, Awang Hashim (PN-Pendang) cuba mencelah tetapi Lau mengarahkan Kulasegaran supaya meneruskan ucapannya.
Namun, Awang sempat melemparkan kata-kata sindiran terhadap Rayer.
"Masalahnya ialah 'mangkuk hayun' itu yang mempolitikannya," katanya.
Lau seterusnya memberi amaran bahawa tindakan boleh diambil termasuk mengarahkan ahli Parlimen keluar sekiranya kekecohan berterusan.
"Mengenai jenayah seksual kanak-kanak, ketepikan di negeri mana ia berlaku. Kita fokus kepada bagaimana untuk menyelesaikannya.
“Jangan politikkan. Jelutong, tutup buku (mengenai isu ini). Terima kasih," katanya.





