Lima ahli parlimen PKR hari ini menggesa kerajaan mendedahkan dapatan jawatankuasa khas yang menjalankan siasatan terhadap kes pemilikan saham bekas ketua pesuruhjaya agensi antirasuah negara ini, Azam Baki.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, berkata terdapat dua siasatan yang dijalankan berhubung isu itu tetapi tiada satu pun dapatannya didedahkan kepada umum.
Tegasnya. perkara tersebut perlu diperbetulkan sama ada melalui pendedahan awam sepenuhnya atau sekurang-kurangnya penelitian oleh jawatankuasa khas parlimen.
“Tidak menjawab (soalan mengenai isu itu) atau tidak bergerak ke hadapan, atau tidak menyiasat atau mendedahkan siasatan yang dibuat bukanlah tadbir urus yang baik oleh kerajaan Madani ketika ini,” tegasnya dalam sidang media di parlimen pagi ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Dua lagi ahli Parlimen PKR turut menyokong kenyataan itu tetapi tidak hadir ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Kecuali Hassan, empat lagi ahli parlimen tersebut merupakan kumpulan yang menyokong dua bekas menteri, Rafizi Ramli, serta Nik Nazmi Nik Ahmad, yang kini bergerak dalam parti baru – Bersama.
Menurut Wong mereka membuat kenyataan tersebut sebagai tindak balas terhadap memorandum yang diterima daripada kumpulan aktivis belia, Sekretariat #RCINOW, dan 51 NGO di luar parlimen semalam.
“Saya rasa (desakan) para aktivis itu betul,” katanya.
Tunggu maklum balas menteri
Merujuk kepada status semasa Azam yang tidak lagi berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wong menambah, persaraan seseorang yang terpalit dengan sesuatu dakwaan tidak menjadikan mereka bebas daripada sebarang tindakan.
Sekretariat #RCINOW – yang sebelum ini dikenali sebagai Sekretariat #TangkapAzamBaki – semalam berarak ke parlimen bagi menuntut Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan “mafia korporat” yang melibatkan pegawai SPRM.
Dakwaan tersebut berpunca daripada laporan Bloomberg pada Feb lalu yang memetik sumber mendakwa wujud pakatan antara sekumpulan ahli perniagaan dan pegawai kanan SPRM untuk melaksanakan pengambilalihan korporat, namun dinafikan oleh agensi antirasuah itu.
Seterusnya, Bloomberg dan Malaysiakini masing-masing menerbitkan pendedahan yang menunjukkan Azam memiliki saham melebihi had yang dibenarkan kepada penjawat awam.
Kerajaan kemudiannya menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat Azam, dengan pembentangan dapatan jawatankuasa siasatan tersebut dalam mesyuarat Kabinet pada 11 Mac.

Pada April pula, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Putrajaya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang tindakan terhadap Azam, dan tidak mendedahkan butiran dapatan jawatankuasa tersebut.
Mengulas lanjut, Wong menggesa NGO yang berada di sebalik memorandum tersebut untuk melancarkan kempen bagi “mendedahkan” pendirian semua ahli parlimen.
Dia mencadangkan agar semua 220 ahli Dewan Rakyat diberi tempoh tujuh hari untuk menyatakan sikap mereka secara terbuka sama ada menyokong penubuhan RCI itu atau sebaliknya.
“Kami mengambil maklum bahawa RCI boleh ditubuhkan atas nasihat perdana menteri, dan jika lebih 51 peratus ahli parlimen menyokong, perdana menteri diwajibkan untuk mencadangkan penubuhan RCI kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kami menghargai dan ingin turut menekankan pendirian sifar toleransi Yang di-Pertuan Agong terhadap rasuah,” tambahnya.
Sebagai timbal balik, Wong menggesa NGO terbabit menyokong usaha ahli parlimen untuk memperkukuh pengawasan parlimen terhadap pelantikan pendakwa raya.
Menurut Wong, dia bersama Hassan dan Kesavan serta beberapa ahli parlimen lain telah bertemu Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, serta pegawai kanan Jabatan Peguam Negara pada 25 Jun.
“Kami telah mengemukakan cadangan pindaan kepada mereka. Kami kini menunggu maklum balas terhadap draf pindaan tersebut,” katanya.





